Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

Perjuangan Kita – Membangunkan Universiti Sanjungan Bangsa, Demi Anak Kandung Harapan Nusa

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – “Sayangilah, hargailah dan berjuanglah demi UTM. Penghargaan dan terima kasih kepada semua staf dan warga UTM yang telah sama-sama berjuang membangunkan Universiti Sanjungan Bangsa ini”, ujar Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail ketika menyampaikan amanat dalam Majlis Bersama Naib Canselor dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UTM di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur hari ini. Majlis tersebut turut berlintas langsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru dan UTM Pagoh.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail menyampaikan amanat kepada warga UTM.

Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi turut menjelaskan kepada warga UTM yang hadir mengenai transformasi pelan strategik UTM sejak 1972 sehingga kini. Fasa awal penubuhan UTM memfokuskan kepada penghasilan graduan kejuruteraan dan teknologi berkualiti tinggi untuk pembangunan negara, sebelum UTM mula mengembangkan sayap untuk menjadi universiti bertaraf dunia, bermula tahun 2001 sehingga 2008. Status Universiti Penyelidikan (RU) yang diperoleh pada tahun 2010 meletakkan UTM dalam kelompok antara universiti terbaik dunia, dipacu pula oleh Pelan Global UTM 2012-2020, dan kini kecemerlangannya terus diperkasa menerusi enVision UTM 2025.

Datuk Naib Canselor UTM turut melancarkan sistem UTM Fundraising.

Pelan-pelan strategik yang dirangka dan dilaksana telah membuahkan hasil yang signifikan. Sebagai contoh, UTM telah mencatat peningkatan yang mendadak dalam QS World University Ranking, daripada kedudukan ke-355 pada tahun 2014 kepada kedudukan ke-187 pada tahun 2021. Sementara itu, kolaborasi bersama universiti-universiti di United Kingdom dan China dilihat semakin meningkat, disamping kewujudan program ijazah bersama (joint degree) dan ijazah berganda (double degree) bersama institusi-institusi pengajian tinggi di Jepun dan Perancis.

Pelancaran Buku Pelan Strategik enVision UTM 2025 (Corporate Niche Strategic Plan-Standard Absolute).

Dalam majlis ini, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi turut membentangkan Laporan Pencapaian Suku Pertama enVision UTM 2025. Menurut beliau, “UTM berada di landasan yang tepat apabila telah mencapai 55 peratus daripada inisiatif keseluruhan teras dan keutamaan strategik enVision UTM 2025. Namun, banyak lagi yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat dan matlamat tersebut.”

Warga UTM juga turut diperkenalkan dengan Pelan Strategik enVision UTM 2025 (Corporate Niche Strategic Plan – Standard Absolute) yang memberikan tumpuan kepada tiga tunggak utama yang juga dikenali sebagai Standard Absolute iaitu UTMHyFlex®, Fantastic4 dan UTMedupolis@Setapak®. Menurut beliau, kejayaan Pelan Strategik Korporat ini akan melonjakkan UTM kepada kedudukan universiti terkemuka dalam bidang kepakaran terpilih.

Beliau turut menyeru warga UTM untuk terus kekal istiqamah dan ikhlas dalam pekerjaan selari dengan moto “Kerana Tuhan untuk Manusia”, kerana pada akhirnya semua warga UTM terlibat sama dalam penghasilan graduan berkualiti tinggi dan penyelidikan berimpak tinggi demi kemakmuran di dalam negara mahupun di peringkat global.

Pasukan pembangunan sistem Dashboard LPU menerima sijil penghargaan.

Sementara itu, Majlis Bersama Naib Canselor pada kali ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan khas oleh pelajar UTMKL dan UTMJB serta pelancaran sistem “UTM Fundraising”, buku Pelan Strategik enVision UTM 2025 (Corporate Niche Strategic Plan-Standard Absolute), sistem pemantauan data dan maklumat bersepadu “Dashboard LPU”. Majlis turut menyaksikan penyerahan replika cek Tabung Endowmen Keusahawanan UTM-MTDC Signature Program berjumlah RM20,000 kepada pemilik dan pengasas Mush.Co, Muhamad Faiz Zainudin, pelajar Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS).

Majlis pada kali ini turut meraikan 40 staf UTM yang mendapat kenaikan pangkat dan lantikan sebagai pentadbir akademik.

Penyerahan replika cek Tabung Endowmen Keusahawanan UTM-MTDC Signature Program berjumlah RM20,000 kepada pemilik dan pengasas Mush.Co, Muhamad Faiz Zainudin.
Persembahan tarian kebudayaan daripada pelajar membuka tirai majlis.
Suasana pelancaran sambutan bulan kemerdekaan di UTM Kuala Lumpur.
Suasana pelancaran sambutan bulan kemerdekaan di UTM Johor Bahru.

Explore More