Mei 17, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa dan Pensyarah Sarjana Muda Sains (Pengurusan Ekuin) UTM Sertai Pertandingan Berkuda ‘The Jakarta Master 2022’

JOHOR BAHRU, 3 Ogos – Seramai enam orang mahasiswa bersama dua pensyarah UTM, Ts Dr Nur Fadilah Darmansah dan Drh. Hazar Sukareksi, daripada jurusan Sarjana Muda Sains (Pengurusan Ekuin) telah menjadi sebahagian komuniti dalam pertandingan berkuda ‘The Jakarta Master 2022’ yang berlangsung pada 28-31 Julai 2022. Kejohanan ini melibatkan 224 ekor kuda dan 900 peserta yang menyertai pelbagai pertandingan dalam dressage dan show jumping bertaraf ‘The International Federation for Equestrian Sports’ (FEI) dan kebangsaan.

Penglibatan sebagai veterinar, pembantu veterinar, ‘steward’ dan sebagai atlet berkuda dalam kejohanan ini telah memberi peluang dan pengalaman berharga kepada kumpulan ini dalam mengendalikan salah sebuah kejohanan yang terbesar seperti ini. Penglibatan mahasiswa dilihat dapat menjadi nilai tambah dalam mengurus sesuatu program dan berpeluang untuk melihat dengan lebih jelas berkaitan perjalanan program yang dijalankan di Indonesia. Pembelajaran secara teori dan praktikal yang diperoleh di UTM telah dapat digunakan sebaik mungkin semasa pertandingan ini berlangsung. Justeru, penglibatan mahasiswa dalam program ataupun kejohanan seperti ini perlu diperbanyakkan lagi dan diteruskan pada masa hadapan agar mahasiswa mempunyai pengalaman yang sebenar sebagai persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Jemputan daripada ZZ Stable selaku penganjur secara langsung telah memberi ruang kepada Program Sarjana Muda Sains (Pengurusan Ekuin) amnya dalam mengorak langkah dengan lebih jauh dalam usaha mengukuhkan jalinan kolaborasi dengan industri ekuin di dalam dan luar negara. Penglibatan ini juga dapat melaksanakan agenda pengantarabangsaan yang secara tidak langsung meningkatkan ‘visibility’ program, fakulti dan universiti di mata dunia, di samping ukhuwah sukan berkuda antara Malaysia dengan Indonesia dapat dieratkan.

Melalui inisiatif ini juga dapat membantu pihak Universiti melaksanakan pelbagai aktiviti bersama yang dapat memberi impak besar seterusnya meningkatkan reputasi akademi yang amat diperlukan dalam meninggikan imej universiti dalam menghasilkan pelajar yang holistik dan memenuhi kehendak pasaran kerja.

Kumpulan pelajar dan pensyarah daripada jurusan Sarjana Muda Sains (Pengurusan Ekuin) UTM di The Jakarta Masters 2022.

Explore More