April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kerajaan Negeri Johor Peruntuk 10.8 Juta bagi Naik Taraf Pangsapuri Komuniti Kangkar Pulai

KANGKAR PULAI, 1 Ogos – Komuniti perintis Bangsa Johor Bahagia (BJB) di Pangsapuri Kangkar Pulai yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permasuri Johor pada tahun 2018 telah menerima kunjungan rasmi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini.

Lawatan tersebut memberi peluang kepada wakil penduduk dari pangsapuri Kenari, Jentayu, Merak dan Nuri bersama wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Projek Bangsa Johor Bahagia, Prof. Rose Alinda Alias untuk menerangkan pelbagai program yang telah dijayakan sebelum ini beserta impaknya dalam meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.

Dalam merasa kagum terhadap semangat kebersamaan yang dipamerkan oleh komuniti perintis BJB, Datuk Onn Hafiz berkata “program ini tidak boleh dilaksanakan secara one off secara bersendiri. Perlu ada kesinambungan dan komitmen semua pihak agar ia berjaya mencapai matlamatnya. Program komuniti seperti di perumahan The Housing & Development Board (HDB), Singapura juga boleh dijadikan sebagai penanda aras kemajuan bagi program ini.”

“Untuk ini, saya bersetuju ahli-ahli jawatankuasa perumahan ini membuat lawatan ke HDB bagi melihat dan belajar cara negara maju menguruskan komuniti di sana”, katanya lagi.

Selain itu, Datuk Onn Hafiz juga telah menyampaikan berita gembira dengan mengumumkan peruntukkan daripada kerajaan negeri sebanyak RM10.8 juta untuk kesinambungan yang dihasratkan.

Sebanyak RM10.8 juta akan diperuntukkan untuk projek mengecat semula blok Kenari dan Jentayu; RM1 juta untuk pembangunan dewan komuniti terbuka; RM600,000 untuk kawasan pejalan kaki; RM200,000 untuk perpustakaan berkonsepkan kontena berkuasa solar pertama di kawasan perumahan PPR di Malaysia; dan RM200,000 untuk tapak meletak kenderaan.

Selaras dengan agenda UTM untuk terus “Memasyarakatkan Universiti” , Naib Canselor UTM amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas sokongan dan keprihatinan yang diberikan.

“Ianya akan terus memberikan inspirasi kepada warga UTM untuk turun dan berada bersama masyarakat bagi memperkasakan mereka melalui program-program pemindahan ilmu dan teknologi”, kata Datuk Prof. Ahmad Fauzi.

Turut serta semasa lawatan ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, YB Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, YB Khairin Nisa Ismail; Adun Kota Iskandar, YB Tuan Pandak Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah, Encik Hishamuddin Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Puan Nurul Naqiah Haji Fadzil dan Ketua Pengurusan Perumahan Kenari, Encik Rosli Othman.

Explore More