April 29, 2024

Search
Close this search box.

KOTA TINGGI, 29 Jul. – Menggilap mahasiswa dan mahasiswi supaya boleh berbakti kepada masyarakat di kemudian hari sememangnya menjadi sebahagian daripada hasrat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), agar moto “Kerana Tuhan Untuk Manusia” bukan hanya menjadi sekadar retorik.

Menyedari hakikat tersebut, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UTM (SKM UTM) dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Kota Tinggi dan penduduk Kampung Batu Ampat, Kota Tinggi telah mengambil inisiatif murni dengan menganjurkan projek “Dari Siswa Untuk Masyarakat”, sebuah projek berbentuk Academic Service Learning (ASL) menerusi platform anak angkat, bermula 26 sehingga 29 Julai 2022.

Projek yang melibatkan 12 orang mahasiswa dan mahasiswi SKM UTM ini berhasrat untuk memberi kesedaran kepada anak-anak muda di kampung untuk meminati sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Projek ASL ini juga telah dilihat sebagai langkah permulaan bagi penduduk Kampung Batu Ampat untuk memanfaatkan infrastruktur Ruang Reka STIE (Sains, Teknologi, Inovasi & Ekonomi) Keluarga Malaysia.

Kewujudan Ruang Reka STIE Kota Tinggi memberi peluang kepada anak-anak muda kampung untuk mencuba dan mengoperasikan mesin pencetakan 3D, di samping menjadi hab pembuatan produk makanan menerusi ruang dapur pintar yang disediakan.

Sementara itu, kehadiran 12 anak angkat mahasiswa dan mahasiswi SKM UTM berfungsi sebagai mentor dan fasilitator dalam mendidik skuad Pintar STIE untuk menghasilkan produk pencetakan 3D, yang mana produk tersebut boleh berfungsi sebagai cenderamata dan alatan untuk kegunaan seharian.

Secara keseluruhannya, projek “Dari Siswa Untuk Masyarakat” ini bakal menjadi batu loncatan untuk penyelidik-penyelidik UTM, khususnya dari SKM UTM untuk turun lebih kerap bertemu dengan masyarakat dan membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dengan kepakaran yang ada. Secara tidak langsung, inovasi yang dibawa adalah inovasi yang mampu mentransformasikan status sosial masyarakat untuk menjadi masyarakat yang lebih berjaya.

“Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi”

“Kelestarian Ilmu Ke Arah Masyarakat Berinovasi”

Penyelidik UTM Terlibat: Prof. Madya Dr. Norizah Hj. Redzuan, Prof. Madya Dr. Aini Zuhra Abdul Kadir, En. Khidzir Zakaria, Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi, Dr. Rozlina Md Sirat, Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, En. Roslin Yasak, Pn. Kasmawati Gumanti, En. Muhamad Nor Firdaus Zainal & En. Mohd Fadthul Ikmal Misnal.

Explore More