April 25, 2024

Search
Close this search box.

Kolokium Peringkat Kebangsaan Pergerakan Kesatuan Sekerja 2022 Platform Bela Kebajikan Pekerja

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Johor dan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (PKA UTM) telah menganjurkan Kolokium Peringkat Kebangsaan Pergerakan Kesatuan Sekerja 2022 pada 16 Jun 2022, bertempat di Holiday Villa, Johor Bahru. Kolokium yang julung kali diadakan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja, Encik Kamal Pardi.

Namun, apa yang menjadi tumpuan semua peserta adalah perkongsian daripada Tan Sri Zainal Rampak. Tan Sri Zainal merupakan mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dari 1987 hingga 2004, yang terkenal lantang dalam mengkritik dasar buruh pihak kerajaan yang dianggap liberal demi menggalakkan kehadiran pemodal asing. Dalam sesi perkongsian, beliau terus teguh dengan isu pengguna dan inflasi yang hakikatnya memberi implikasi langsung terhadap kesejahteraan dan status sosio-ekonomi para pekerja. Di samping itu, beliau turut menyentuh isu gaji minimum, kemahiran dan kepimpinan gerakan kesatuan sekerja, dengan harapan agar ia mampu ditambah baik dari semasa ke semasa.

Kolokium pada kali ini turut menampilkan Prof. Dr. Durrishah Idrus dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) UTM dalam pembentangan ucaptama berjudul ‘Kelangsungan Kesatuan Sekerja di Malaysia’. Usai pembentangan ucaptama, program diteruskan dengan sesi wacana berjudul ‘Hala Tuju Pergerakan Kesatuan Sekerja di Malaysia’ dengan menampilkan Encik Kamal Pardi dan Prof. Dr Balakrishnan a/l Parasuraman selaku barisan ahli panel manakala Dr. Zulkifli Khair sebagai moderator.

Turut mendapat perhatian adalah sesi wacana berjudul ‘Gangguan Seksual Di Tempat Kerja’ yang menampilkan Encik Shanmugam a/l Thiagarajan, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Encik Muhammad Azhani Ishak, Pengurus Kanan Sumber Manusia AEON Co. (M) Bhd. sebagai barisan ahli panel, manakala Encik Madanjit Singh a/l Jeswant Singh, Pengarah Perancangan dan Dasar, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) selaku moderator.

Penganjuran kolokium kali ini dilihat mampu memberi impak dalam memastikan suara hati pekerja-pekerja di seluruh negara dapat didengari, sekali gus mendapat perhatian pihak kerajaan menerusi dasar dan polisi yang lebih membela nasib pekerja-pekerja terutama dalam aspek kesejahteraan dan status sosio-ekonomi mereka.

Forum Isu dan Cabaran Perundingan Pertikaian Perusahaan di Malaysia.
Ucapan perasmian oleh YBrs. Encik Kamal Pardi, Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia.
Ucapan aluan oleh YBrs. Encik Hasnor Faiz bin Mohammad Salleh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Johor, Kementerian Sumber Manusia.
Dr. Zulkifli Khair selaku moderator bersama ahli panel, Encik Kamal Pardi dan Prof. Dr Balakrishnan a/l Parasuraman.
Prof. Dr. Durrishah Idrus dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) UTM sebagai pembentang ucaptama.

Explore More