April 25, 2024

Search
Close this search box.

Persatuan Kakitangan Akademik UTM Rintis Sejarah Terbit Buku Kesatuan Sekerja

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (PKA UTM) berjaya menyahut cabaran menerbitkan buku tentang kesatuan sekerja di Malaysia. Buku berjudul ‘Perkembangan Dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja Di Malaysia’ telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia pada 21 April 2022 bertempat di Hotel Marriott Putrajaya, bersempena Program Aspirasi Keluarga Malaysia: Outreach Kesatuan Sekerja dan Majlis Penyampaian Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) 2022 Zon Tengah.

Buku tersebut adalah hasil daripada penganugerahan geran sebanyak RM 170,000 oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang diterima pada tahun 2020. Penulisan separa ilmiah setebal 333 halaman itu dihasilkan oleh 18 penulis daripada empat buah universiti; UTM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta pegawai dari JHEKS sendiri.

Ia diselaraskan oleh tiga editor; Prof. Dr. Durrishah Idrus, Dr. Zulkifli Khair dan Prof. Madya Dr. Abd Rahman Tamuri yang juga Presiden PKA UTM, dibantu sokongan padu daripada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja, Encik Kamal Pardi. Ia wajar dianggap sebagai buku paling komprehensif setakat ini tentang kesatuan sekerja di Malaysia, meliputi pelbagai tema sejarah, aliran pemikiran, perundangan, dasar-dasar kerajaan, perspektif Islam dan lain-lain.

Karya ini sudahpun diulas secara umum oleh Prof. Dr. Durrishah Idrus sewaktu majlis pelancaran dan juga oleh Dr. Zulkifli Khair di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sewaktu Majlis Penyampaian GPKS 2022 Zon Selatan pada 3 Jun 2022. Sebahagian isi kandungannya pula telah pun dibincang dan diulas sewaktu Kolokium Peringkat Kebangsaan Pergerakan Kesatuan Sekerja 2022 di Holiday Villa, Johor Bahru pada 16 Jun 2022.

Ulasan bab buku berkenaan telah diterjemahkan dalam bentuk pembentangan dalam kolokium. Antara bab yang diulas termasuklah ‘Kesatuan Sekerja Malaysia Menghadapi Wabak (COVID-19)’, dibentangkan oleh Dr. Kamal Ab Hamid dari UUM dan ‘Fasiliti Kesatuan Sekerja: Perbandingan antara Kesatuan Sekerja Kerajaan dan Swasta di Malaysia’, dibentangkan oleh Dr. Dzulzalani Eden dari UNIMAS.

Dalam perkembangan terkini, senaskhah buku telah pun diserahkan kepada pihak Library of Congress (LC) yang berpangkalan di Washington. Buku ini juga sedang dalam proses penterjemahan ke bahasa Inggeris untuk tatapan pembaca di peringkat antarabangsa.

Prof. Madya Dr. Rahman Tamuri dan Dr. Zulkifli Khair menyerahkan buku kepada Datuk Naib Canselor UTM.
Editor buku terdiri daripada Prof. Dr. Durrishah Idrus, Dr. Zulkifli Khair dan Prof Madya Dr. Rahman Tamuri.

Explore More