April 20, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Muhammad Hakim bin Mohd Zain & Mohd Fadthul Ikmal Misnal

Takbir sayup berkumandang dari Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengundang syahdu di jiwa. Hati lara teringat ibu bapa dan sanak saudara yang jauh di mata. Rindu tak terungkap dengan kata-kata. Air mata berlinangan merindui air tangan bonda nun jauh di sana. Namun, apakan daya, perjuangan perlu diteruskan. Demi sebuah kejayaan di masa hadapan. 

Itulah yang dirasai oleh anak perantau mahasiswa dan mahasiswi UTM yang mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman. Apatah lagi, musim peperiksaan akhir semester yang kebetulannya jatuh pada waktu perayaan sambutan Hari Raya Aidiladha, bagi pelajar pra siswazah. Pelajar pascasiswazah pula apa kurangnya, mengejar tarikh penting untuk menghantar naskhah tesis sebelum peperiksaan lisan, tak kurang pula bersilat di makmal demi data yang berkualiti, untuk penerbitan ke makalah dan jurnal berimpak tinggi.

Setelah hampir lima semester pengajian terpaksa dijalankan secara atas talian akibat senario pandemik COVID-19 yang lalu, kebanyakan fakulti sudah mula melaksanakan peperiksaan akhir semester secara fizikal di kampus. Hal ini menyebabkan rata-rata mahasiswa tidak teragak-agak untuk mengorbankan cuti perayaan Aidiladha pada kali ini untuk tetap berada di kampus, bersama rakan mengulangkaji pelajaran, berjaga malam mencari petunjuk dan pedoman, demi mendalami khazanah ilmu hakiki, membentuk mahasiswa menjadi seorang manusiawi. Semua ini demi kejayaan pada masa hadapan. Sebagaimana bait kata “Keunggulan Terbilang”, meningkatkan martabat keilmuan, lahirlah cendekiawan beriman.

Tidak dilupakan juga buat mahasiswa dan mahasiswi antarabangsa. Ia satu mujahadah, satu perjalanan yang tidak semua orang mampu lakukan. Sudah lah berada jauh di perantauan. Menetap pula di negara orang, umpama Pak Malau yang bermusafir dan berdagang lalu. Namun, semestinya UTM menjanjikan satu suasana pembelajaran dan tempat tinggal yang selesa buat mereka. Walaupun tugas sebagai mahasiswa menjadi keutamaan, sambutan perayaan Aidiladha tetap tidak dilupakan. Semua bersyukur atas nikmat pemberian Tuhan, kerana sedar mujahadah ini satu pengorbanan. Kerana akhirnya, kembara ilmu ini adalah untuk manfaat tanah air mereka tercinta yang jauh dari mata, bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Apapun, pengorbanan mahasiswa dan mahasiswi UTM ini akan menjadi titik permulaan demi mendepani cabaran di masa akan datang. Ia sebagai medan latihan dan persiapan kendiri, kerana berjauhan daripada keluarga dan berada di luar tanah air menjadi satu kemungkinan, demi ‘survival’ di alam pekerjaan kelak. Inilah dia yang menjadi pemangkin kepada pembentukan dan pemantapan jati diri warga UTM yang kukuh dan ampuh. Bak kata pepatah, benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. 

Buat mahasiswa dan mahasiswi UTM, anda semua telah berkorban dengan bersengkang mata menelaah pelajaran, telah berkorban masa cuti sambutan perayaan, telah berkorban dengan berjauhan daripada sanak saudara, rakan dan taulan di kampung halaman. Jangan disia-siakan pengorbanan yang anda semua telah lakukan. Mengambil ibrah daripada kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS, amatlah besar pengharapan kita agar pengorbanan kecil kita mendapat redha Allah SWT. Semoga pengorbanan kecil yang kita lakukan memberi manfaat kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

Walau jauh di mata

Namun kau tak dapat kulupa

Doaku sepanjang masa agar kau bahagia

Ku pohon restu darimu

Oh ayah dan ibu

Agar tercapai citaku

Membela nasibmu

-Ku Pohon Restu Ayah Bonda, Mamat

Explore More