Disember 22, 2024

Social Science Biznet Showcase Cetus Kerjasama Penyelidikan dan Perundingan FSSK UTM Bersama PKS Tempatan

Penulis Bersama: PM Dr. Roziana Shaari, Dr. Mohamad Abdillah Royo, Dr. Azlineer Sarip & Dr. Nur Syafiqah A. Rahim

PUTRAJAYA, 4 Jun – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (FSSK UTM) dengan kerjasama Coach Roszie Amir dan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM telah menganjurkan Social Science Biznet Showcase bertempat di Everly Putrajaya. Program ini dirancang sebagai platform untuk meluaskan lagi kerjasama penyelidikan dan perundingan bersama pihak industri terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di samping menonjolkan identiti FSSK UTM sebagai pakar rujuk dalam perniagaan dan pemasaran.

Lebih 35 buah IKS telah terlibat dalam menjayakan program ini. Program yang turut disokong padu CCIN UTM di bawah inisiatif AIMS4STAR telah mendapat maklum balas yang positif daripada PKS yang terlibat, yang mana rata-ratanya amat berharap program seumpama ini dapat dianjurkan setiap tahun.

Selaras dengan objektif program iaitu untuk memulakan kolaborasi penjanaan kewangan bersama industri seterusnya mewujudkan peluang memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum persetujuan (MoA), program ini telah diatur dengan mensasarkan bidang kepakaran sumber manusia, psikologi dan juga TVET. Bidang ini diwakili oleh tiga kumpulan penyelidikan iaitu Work, Learning and Development (WORLD), Industrial, Work and Industrial Psychology (IWOP) dan Technical and Vocational Education and Training (TVET).

Sepanjang program ini berlangsung, sebanyak 10 kumpulan penyelidikan berpeluang membentangkan kepakaran masing-masing. Tujuh daripada kumpulan penyelidikan tersebut membentangkan kepakaran secara rakaman manakala tiga lagi kumpulan telah membentangkannya secara bersemuka, dengan wakilnya terdiri daripada Prof. Madya Dr. Roziana Shaari (WORLD), Dr. Junaidah Yusof (IWOP) dan Dr. Muhammad Khair Noordin (TVET).

Program yang berlangsung selama tiga jam ini telah membuka peluang kepada pihak industri untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai peluang dan ruang yang dapat ditawarkan oleh pelbagai agensi seperti MARA dalam mengembangkan perniagaan mereka. Bertemakan “connect with experts and expand your business”, program ini dilihat menjadi satu platform kepada pihak industri dalam usaha untuk mengenalpasti peluang kewangan demi merangsang pertumbuhan perusahaan masing-masing, di samping mendapat tunjuk ajar daripada Coach Roszie Amir, selaku Entrepreneur & Industry Business Coach.

Seiring dengan hasrat Dekan FSSK UTM, Prof. Dr. Zaidatun Tasir dan pengarah program iaitu Prof. Madya Dr. Roziana Shaari, diharapkan program seumpama ini dapat memberi input berguna kepada pihak industri terutamanya PKS tempatan, dan dalam masa yang sama dapat menonjolkan lagi kepakaran kumpulan-kumpulan penyelidikan FSSK UTM.

Turut serta melancarkan program ini adalah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan FSSK UTM, Prof .Madya Dr. Mohd Fauzi Hussin.
Gambar kenang-kenangan bersama wakil PKS yang terlibat.
Penganjur program FSSK UTM, Coach Rozie Amir dan CCIN UTM.

Explore More