Disember 28, 2024

Program ‘Smart Single Mother’ Didik Golongan Ibu Tunggal Jana Pendapatan dan Urus Kewangan

Johor Bahru, 18 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kursus Budi Penyayang, Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), UTM I-League serta persatuan-persatuan ibu tunggal di sekitar Johor telah mengadakan program ‘Smart Single Mother’ sepanjang 13 Jun sehingga 18 Jun 2022.

Program ini dianjurkan bagi memberikan pendedahan ilmu kepada golongan ibu tunggal dan membantu menaik taraf kehidupan serta kebajikan mereka terutamanya dari segi penjanaan pendapatan dan pengurusan kewangan.

Program yang dijalankan sepenuhnya dalam talian ini merangkumi penyebaran ilmu melalui poster infografik dan webinar diikuti oleh Cabaran Kahoot. Platform yang digunakan sepanjang program adalah Facebook dan Instagram YPKDT serta ‘Google Meet’.

Semasa program, satu poster telah dikongsikan setiap hari dari 13 Jun sehingga 17 Jun yang meliputi topik-topik yang berbeza.

Manakala, aktiviti kemuncak iaitu Webinar Smart Single Mother pula telah diadakan pada 18 Jun dari 9 pagi sehingga 12 tengah hari yang melibatkan ibu-ibu tunggal di sekitar Johor.

Topik-topik yang disampaikan sepanjang webinar tersebut adalah Dalami Perniagaan dengan BMC oleh Pengasas NH Revo Resources, Cik Siti Nurhazwani binti Mohamad Zaini, Hidup Tenang Tanpa Ropol oleh Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling UTM dan Smart EXCEL, Puan Noor Hadayah binti Haji Ahmad, Mudahnya Mengurus Bajet oleh ahli Kursus Budi Penyayang UTM, Muhammad Syamsuzzaman bin Roslan.

Webinar ini berjaya menerima jumlah tontonan sebanyak 1.3K dan 132 perkongsian di Facebook YPKDT.

Selain daripada sesi perkongsian, terdapat juga pertandingan Cabaran Kahoot yang menawarkan hadiah utama mesin pengering 7kg berjenama untuk dimenangi.

Secara keseluruhannya, Program ‘Smart Single Mother’ telah dijalankan dengan jayanya. Melalui maklum balas yang diterima, kebanyakan para peserta sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan dan mendapati ilmu yang dikongsikan adalah bermanfaat dan informatif.

“Program seperti ini boleh diadakan lagi,” kata peserta ibu tunggal berumur 45 tahun, Lenny binti Othman.

“Informasi yang bagus,” kata peserta berumur 35 tahun, Haslina binti Mohamad Yatim.

 

Explore More