April 24, 2024

Search
Close this search box.

BATU PAHAT, 25 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Syarikat T&M telah menjalankan projek kerjasama awam–swasta, Projek Pembuatan Mesin Mi Siput bagi memperkasa dan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) menambah pendapatan di sini, hari ini. 

Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, KPT telah mengadakan pelbagai usaha untuk memperkasakan hubungan jaringan awam-swasta melalui kerjasama strategik industri dalam meningkatkan produktiviti melalui inovasi atau teknologi yang bersesuaian di mana IPT berperanan sebagai penyedia penyelesaian (solution provider) kepada industri. 

“Justeru, dengan wujudnya inisiatif Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) oleh KPT, pihak UTM dapat membantu T&M Enterprise yang bertempat di Kampung Sungai Nibong, Semerah ini untuk mereka bentuk mesin atau proses baharu yang mampu membantu meningkatkan kuantiti pengeluaran mi siput kepada 250kilogram berbanding hanya 80kilogram yang dihasilkan melalui mesin sebelum ini,” katanya pada majlis penyerahan mesin mi siput kepada syarikat T&M di sini, hari ini. 

Ketua Projek, Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin Haji Abu menyampaikan taklimat proses mereka bentuk Mesin Mi Siput

Beliau menambah, projek ini juga berjaya meningkatkan kecekapan penghasilan produk di mana hampir tiada bahan mentah yang terbuang berbanding mesin yang digunakan sebelum ini yang menghasilkan bahan terbuang sebanyak 10 kilogram. 

“Bagi projek ini, sejumlah RM 30,150 telah diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui geran penyelidikan PPRN (Research Grant) dan syarikat T&M Enterprise telah memberikan RM 3,350 sebagai geran padanan dari pihak industri. 

Demonstrasi Mesin Mi Siput kepada Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad

“Penyertaan ahli akademik untuk melaksanakan penyelidikan berasaskan permintaan (demand driven) dan memperkasakan hubungan jaringan awam swasta melalui penyelidikan inovasi daripada IPT adalah sangat digalakkan dan menyeru agar pihak IPT berkolaborasi dengan pihak industri secara aktif,” jelasnya.

Projek ini telah dijayakan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin Haji Abu bersama pasukan penyelidik di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

KPT, UTM, T&M Enterprise bersama komuniti setempat
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail turut mendemonstrasikan salah satu teknik pembuatan Mi Siput

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, kerjasama ini memberi peluang kepada masyarakat setempat memajukan perniagaan yang telah dibina selama ini dengan kaedah yang lebih moden dan teratur dengan bantuan tenaga penyelidik UTM.

Beliau juga menyeru syarikat swasta lain untuk bekerjasama dengan UTM untuk menambahbaik mesin atau proses yang digunakan di syarikat mereka menggunakan kepakaran dan inovasi penyelidik tempatan.

Explore More