Oktober 7, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Prof Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah, UTM Campus Sustainability

Bersempena dengan sambutan UTM 50 Tahun, warga Unversiti Teknologi Malaysia telah mengadakan program yang julung kali dianjurkan iaitu Kembara Kayuhan UTM 50 Tahun melibatkn 25 orang peserta.

Merupakan program kerjasama UTMCS dan BPKL, kayuhan jarak jauh ini melibatkan empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan, N. Sembilan, Melaka dan Johor melibatkan kayuhan dari UTMKL ke UTMJB. 

Peserta terlibat adalah terdiri dari staf, pesara, pelajar dan alumni Universiti Teknologi Malaysia. Idea kembara ini tercetus dari Pro-Naib Canselor UTMKL, Prof Ts. Dr. Abd Latif Saleh pada awal bulan Januari 2022.

Pengarah Program, Prof Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip berkata, rancangan telah diatur dan disusun untuk memulakan siri kayuhan dengan memilih beberapa peserta kayuhan yang terdiri dari 12 orang staf termasuk seorang pelajar pra-siswazah dari UTMKL dan 13 orang dari kalangan staf, alumni dan pesara UTMJB termasuk tiga orang wanita.

“Perancangan asal kayuhan pada pertengahan Mac tetapi telah diubah kepada 8hb Jun hingga 12 hb Jun 2022 mengambil masa kayuhan selama 4 hari dan 3 malam yang berakhir di Scholor’s Inn UTMJB.

Bersempena Hari Berbasikal Sedunia yang disambut pada 3 Jun setiap tahun, UTM mengambil inisiatif ini dengan menganjurkan aktiviti berbasikal dengan menyahut cabaran kembara merentasi empat negeri dengan jarak kayuhan 405km,” kata beliau.

Tambah beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menekankan berbasikal terbukti sebagai cara yang berkesan untuk mencapai tahap aktiviti yang sihat dan disyorkan semua masyarakat atau warga campus untuk mengamalkannya.

Berbasikal juga memenuhi keperluan orang ramai terus menjadi bahagian penting dalam penyelesaian mobiliti untuk membantu masyarakat bandar dan luar bandar dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar, mengurangkan pelepasan karbon, dan untuk meningkatkan kualiti udara serta keselamatan jalan raya.

“Matlamat utama kembara kayuhan adalah bertujuan untuk memupuk perpaduan dan mahabbah antara warga universiti di UTM melalui aktiviti rekreasi seperti berbasikal, menyemarakkan semangat dan suasana sambutan UTM ke 50 Tahun, mempromosikan aktiviti rekreasi dalam mencapai tahap kesihatan yang baik dari aspek fizikal, mental, dan spiritual dan membantu warga universiti mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan atau ‘work life balance’.

Kembara Kayuhan UTM 50 Tahun juga sangat sinonim dengan ‘Sustainable Development Goal’ (SDG) iaitu melibatkan SDG 3 – Berbasikal menjana gaya hidup sihat dan tidak mencemarkan udara di mana ia menyumbang kepada kualiti udara dan keselamatan jalan raya bertambah baik apabila pengangkutan bermotor digantikan dengan berbasikal serta SDG 7 iaitu berbasikal meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan kerana ia menggunakan tenaga manusia yang boleh diperbaharui dengan cara yang paling cekap untuk pengangkutan,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, berbasikal juga melibatkan SDG 8 di mana sektor industri berbasikal, termasuk perkhidmatan dan pelancongan berbasikal, menyampaikan produk dan perkhidmatan untuk pengangkutan manusia dan barangan yang lestari, inklusif serta pelancongan mampan dan aktiviti riadah yang sihat. Sektor berbasikal mencipta lebih banyak pekerjaan untuk perolehan yang sama berbanding sektor pengangkutan lain.

“SDG 9 pula apabila berbasikal membolehkan orang ramai beralih daripada penggunaan pengangkutan bermotor kepada gabungan mobiliti altenatif (berjalan dan berbasikal) dan pengangkutan awam. Lebih ramai orang berbasikal dengan lebih kerap memudahkan universiti membina infrastruktur yang berdaya tahan dan sistem pengangkutan yang mampan untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan manusia, dengan tumpuan pada akses mampu milik dan saksama untuk semua.

Berbasikal juga melibatkan SDG1 1 iaitu Pertambahan berbasikal menjadikan universiti dan penempatan manusia lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan kerana berbasikal adalah mod pengangkutan yang berpatutan, selamat, tidak mencemarkan, sihat dan menggalakkan ekonomi yang mampan serta SDG 12 di mana pengangkutan barangan dengan basikal menawarkan peluang untuk bergerak serta meningkatkan pengeluaran, penggunaan dan penghantaran barangan dengan cara yang mampan dan di kebanyakan kawasan bandar, 50% daripada semua penghantaran barangan boleh dilakukan dengan basikal.” tambah beliau.

“Berbasikal juga menyumbang kepada SDG 13 kerana ianya adalah simbol untuk menyahkarbon bagi meningkatkan gaya hidup masyarakat dan ia menawarkan kemungkinan untuk menyumbang kepada penurunan kadar perubahan iklim.

Oleh itu semua universiti di Malaysia perlu mengambil tindakan dengan menyepadukan berbasikal ke dalam dasar tindakan iklim, strategi, pendidikan dan peningkatan kesedaran kepada semua staf dan pelajar,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, berbasikal juga menyumbang kepada SDG 17 di mana pergerakan dengan berbasikal, organisasi dan masyarakat awam yang mengusahakan industri berkaitan basikal dapat promosikan sukan berbasikal di seluruh dunia, menyokong perkongsian global untuk pembangunan lestari.

Perasmian Kembara Kayuhan UTM 50 Tahun telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Arman Azha Bin Haji Abu Hanifah, Ahli Dewan Negara pada 8hb Jun 2022.

Acara penyerahan gimik perasmian telah disampaikan oleh Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh sebagai simbolik kepada pelepasan kembara kayuhan bermula di perkarangan Menara Razak UTMKL.

Peserta kayuhan seramai 25 orang berlepas pada pukul 8.30 pagi menuju ke Port Dickson turut bersama kembara kayuhan diiringi oleh dua buah motosikal sebagai mashal, sebuah van yang membawa peralatan perubatan bersama seorang pembantu perubatan iaitu En Mohd Shafiq Samsudin, sebuah Pajero dan sebuah lori bagi membawa keperluan peserta dan peralatan bantuan teknikal.

Kayuhan pada hari pertama dari UTMKL menuju ke Bagan Pinang Port Dickson mengambil masa 8 jam untuk sampai dengan jarak 102 km melalui Cheras, Kajang, Dengkil, Salak Tinggi, Sepang, Lukut dan seterusnya berehat di perhentian pertama di Inap Desa Bagan Pinang Port Dickson.

Pada hari kedua sekitar pukul 7.00 pagi semua peserta kayuhan bersemangat untuk meneruskan kayuhan ke Melaka.

Perjalanan bermula pada pukul 8.00 pagi setelah dilepaskan oleh PM Dr. Asnul Dahar Minghat, Pengarah Institute for Life-Ready Graduate (UTM iLeague) di Pantai Saujana bersempena dengan program khidmat masyarakat Bersama komuniti setempat pada pagi itu. Perjalanan kembara mengambil masa sekitar 8 jam dengan jarak kayuhan sekitar 91 km untuk sampai di Melaka.

Tahniah kepada semua peserta berbasikal yang berjaya menamatkan Kembara Kayuhan UTM 50 Tahun dari UTM Kuala Lumpur  hingga UTM Skudai pada 12 Jun 2022.

Laluan kayuhan pada hari kedua sangat mempersonakan kerana melalui beberapa tempat pelancongan menarik sekitar Port Dickson dan Melaka, antaranya Pantai Saujana, Pantai Telok Kemang, Pasir Panjang, Sungai Linggi, Kuala Sungai Baru, Pantai Pangkalan Balak, Tangga Batu, Pantai Tanjung Kling dan Pantai Tanjung Bidara Melaka dan seterusnya ke Umbai Melaka tempat penginapan peserta.

Pada hari ketiga tepat jam 7.30 pagi semua peserta dan kumpulan sokongan telah bergerak selepas menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh penganjur program di Kelana Homestay Umbai. Perjalanan mengambil masa 8 jam untuk sampai ke Batu Pahat dengan jarak kayuhan 90 km. Perjalanan ke Batu Pahat agak rata dan tiada berbukit menyebabkan peserta kayuhan sampai lebih awal dari perancangan asal.

Tiada insiden yang mendebarkan kerana semua peserta kayuhan menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan melalui Merlimau, Sungai Rambai, Muar, Parit Jawa, Semerah dan Batu Pahat. Perjalanan tamat pada pukul 5.00 petang di sebuah inap desa diberi nama Tasik Villa berdekatan dengan tapak peninggalan Wet World Batu Pahat merupakan sebuah banglo mewah sebagai tempat berehat peserta kayuhan dan kumpulan sokongan.

Peserta kayuhan diketuai oleh Pro-Naib Canselor UTMKL

Perjalanan pada hari keempat agak mendebarkan kerana peserta sepakat untuk menuju terus ke destinasi akhir iaitu UTM Skudai. Mengikut perancangan asal peserta kayuhan akan berhenti bermalam di Pekan Nanas tetapi telah berbincang dan sepakat untuk meneruskan sehingga ke UTM Skudai.

Jarak perjalanan juga agak jauh sekitar 120 km yang akan melalui beberapa pekan sepanjang perjalanan antaranya Senggarang, Rengit, Benut, Ayer Baloi, Pontian, Pekan Nanas, Pulai Jaya dan seterusnya Skudai. Kayuhan telah bermula seawal 7.00 pagi dan sampai ke destinasi seawal 4.15 petang. Peserta kayuhan berehat untuk bermalam di Scholar’s Inn UTM Skudai.

Program penutup Kembara Kayuhan UTM 50 Tahun telah berlangsung pada pukul 10.00 pagi.

Peserta kayuhan berkayuh menuju ke Bangunan Canselori dengan diketuai oleh Pro-Naib Canselor UTMKL dan disambut oleh YB Tuan Haji Pandak Bin Ahmad ADUN Kota Iskandar pada majlis perasmian penutup program. Majlis selesai dengan sesi bergambar Bersama ADUN Kota Iskandar pada pukul 11.30 pagi 12hb Jun 2022.

Penyelaras program diketuai oleh PM Ir Dr Shamsul Sarip
Program Perasmian pada 8 Jun 2022 oleh Ahli Dewan Negara YB Senator Dato’ Arman Azha Bin Haji Abu Hanifah
Program pelepasan di Pantai Saujana Port Dickson pada 9 Jun 2022

Explore More