Disember 22, 2024

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Ketua Editor), Nurul Hazmira Hani binti Haznan (Editor), Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (Editor), & Muhammad Hakim bin Mohd Zain (Editor) 

Sekuriti makanan menjadi antara perkara yang hangat diperdebat, bukan sahaja dalam kalangan pakar akademik dan pembuat dasar di peringkat kementerian, malah ia hebat dibincangkan di platform media-media sosial. Manakan tidak, situasi-situasi seperti kekurangan bekalan ayam, kenaikan harga sayur-sayuran dan kebergantungan yang tinggi terhadap import bahan makanan ruji menjadi asas kukuh untuk rakyat Malaysia melahirkan rasa bimbang terhadap tahap kesediaan negara berdepan dengan krisis bekalan dan pengeluaran makanan di peringkat global. 

Atas dasar cakna dengan situasi semasa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif dalaman dengan melaksanakan projek makmal hidup KTHO Waste to Wealth Hub, sebuah projek pertanian berkonsepkan kelestarian dan keusahawanan sosial sekali gus menyokong agenda global Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Bertunjangkan kepakaran dan kredibiliti Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim selaku Pengetua Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), diperkasakan dengan sokongan padu Majlis Felow Merbauan (MAFAN) dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KTHO, projek ini sudah memasuki tahun kedua pelaksanaannya.

Menyedari hakikat bahawa warga kampus antara penyumbang kepada sisa domestik terutama dalam bentuk sisa makanan, pelaksanaan inisiatif ini memberi harapan agar ia dapat menyumbang kepada pengurusan sisa kampus yang lebih sistematik, sekaligus dapat dimanfaatkan demi kelestarian alam sekitar. Di samping itu, projek ini dilihat berupaya menonjolkan KTHO dan UTM sebagai pusat rujukan utama kepada program-program latihan berkaitan aktiviti pertanian lestari berkonsepkan 4R (reduce, reuse, recycle, recover) sekali gus menjadi agen perubahan gaya hidup lestari dalam kalangan rakyat Malaysia, dalam usaha untuk menyokong matlamat menjadi negara rendah karbon, sebagaimana yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Kolaborasi agensi dan industri memperkasa keusahawanan sosial

Hasrat menjadikan kelestarian sebagai salah satu gaya hidup telah diperkasa dengan penglibatan beberapa agensi dan pihak industri. Sebagai contoh, projek KTHO Waste to Wealth Hub telah ditonjolkan sebagai salah satu identiti KTHO menerusi program Merbauan Carnival 2022 (MECAR ‘22). Natijahnya, program ini telah menarik minat agensi kerajaan dan pihak industri untuk bekerjasama seperti Jabatan Landskap Negara (JLN), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perbadanan Bioteknologi & Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech), Kulim Malaysia Berhad, Hospital KPJ Johor, Tahir Construction Sdn. Bhd., Marsha Trading & Services, NHS Shahid Enterprise, Bajanas Empayar Johor, Nutrition Technologies Sdn. Bhd. dan Mentari Alam Eko (M) Sdn. Bhd.

Menerusi program ini, sejumlah RM55,000 dalam bentuk penajaan kewangan dan sumbangan barangan (in-kind) telah berjaya diperoleh sepanjang pelaksanaan projek KTHO Waste to Wealth Hub dan MECAR ‘22. Antara sumbangan yang paling signifikan sepanjang projek ini ialah sumbangan mesin pengkomposan sisa makanan bernilai RM50, 000 daripada pihak J-Biotech di bawah inisiatif Johor Bioeconomy Center of Excellence.

Kolaborasi dan sinergi UTM bersama dengan agensi kerajaan dan pihak-pihak industri sesungguhnya telah membantu jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UTM dalam aspek penghasilan produk-produk pertanian dalam kampus, yang mana hasil jualannya telah menjana keuntungan sebanyak RM3,000. 

Perkongsian pengetahuan antara universiti kepada komuniti

Seterusnya, usaha murni ini turut melibatkan usaha sama antara UTM bersama komuniti dan juga universiti kolaborasi. Usaha ini telah direalisasikan apabila JKM KTHO telah menganjurkan Program Pertanian Bandar: Hobi Baru bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bertempat di Rumah Iskandar Malaysia, Nusajaya, di mana penyertaan seramai 70 buah keluarga telah berjaya dicatatkan. Di samping itu, JKM KTHO turut bekolaborasi dengan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Teratai (JPK Kolej Teratai) UiTM Shah Alam apabila 40 orang warga UiTM berkampung di KTHO untuk mendalami pengisian program KTHO Waste to Wealth Hub, sebagai salah satu daripada aktiviti lawatan penanda aras yang dijalankan.

Menerusi aktiviti perkongsian pengetahuan yang diadakan, para peserta dilengkapkan dengan kesedaran akan kepentingan amalan kitar semula di peringkat domestik sebagai suatu usaha bersama untuk mengekalkan kelestarian alam. Aktiviti-aktiviti menarik yang praktikal dan sesuai seperti penyemaian biji benih, pembuatan baja serta pertandingan menanam pokok turut diadakan sekali gus memenuhi objektif program dalam usaha untuk memberi impak positif kepada manusia malah kepada ekosistem dan alam sekitar.

Secara tidak langsung, pelaksanaan program komuniti seperti ini telah membuka peluang bagi UTM mewujudkan jalinan kerjasama dengan masyarakat luar yang diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang demi memastikan legasi kelestarian alam sekitar kekal mampan dan utuh terjaga.

Penyelidikan dan inovasi untuk manfaat bersama

Elemen penyelidikan dan inovasi KTHO Waste to Wealth Hub turut dimanfaatkan dengan penglibatan tiga orang pelajar KTHO dalam pertandingan penyelidikan dan inovasi peringkat antarabangsa, International Biotechnology Competition and Exhibition 2022 (IBCEx ‘22) yang berlangsung pada 15 dan 16 April 2022 yang lepas. Penyertaan wakil KTHO dalam pertandingan ini membuahkan hasil apabila telah berjaya merangkul tempat ketiga dalam kategori teknologi hijau.

Dengan mempertaruhkan salah satu elemen penyelidikan KTHO Waste to Wealth Hub, iaitu projek inovasi Ferticity: Fertigation System for Urban Farming Using Solar and Rainwater Harvesting, inovasi ini menonjolkan pembuktian konsep penggunaan air hujan yang boleh dikitar sebagai medium siraman daripada terbuang di longkang atau sungai begitu sahaja.Reka bentuk projek Ferticity yang menggunakan rak bertingkat turut menjadi salah satu impak projek ini untuk dikomersialkan kepada masyarakat setempat terutamanya warga kota memandangkan projek ini boleh menyelesaikan masalah mereka yang tidak mempunyai kawasan bercucuk tanam di kawasan rumah. Apa yang lebih menarik, inovasi ini tidak lagi memerlukan tenaga manusia yang banyak memandangkan ia dilengkapi dengan sistem ‘auto-watering’ menggunakan ‘timer’ yang sudah dilengkapkan.

Justeru itu, idea projek ‘Ferticity’ ini dilihat praktikal untuk menyelesaikan beberapa isu atau masalah yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini seperti ketiadaan atau kekurangan tempat bagi warga kota bercucuk tanam memandangkan mereka tinggal di kediaman bangunan pencakar langit, di samping sebagai salah satu inisiatif bagi mereka yang sibuk bekerja tetapi turut mahu melibatkan diri dalam pertanian bandar.

KTHO Waste to Wealth Hub sebagai makmal hidup contoh untuk diaplikasi

Pada dasarnya, inisiatif KTHO Waste to Wealth Hub merupakan satu usaha kecil yang lebih bersifat pembuktian konsep pelaksanaan makmal hidup di peringkat kolej kediaman. Namun, usaha ini harus dilihat dan dipandang serius oleh kerajaan, terutama menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebagai antara kementerian peneraju dalam hal ehwal sekuriti makanan di peringkat nasional. Mungkin, sudah tiba masanya untuk projek-projek makmal hidup  seperti ini dilaksanakan pada setiap peringkat, bermula dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan, mencapah kepada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat-syarikat swasta, dan akhirnya berakar umbi di peringkat komuniti perumahan dan desa-desa. 

Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil satu langkah yang proaktif untuk memastikan sekuriti makanan di peringkat nasional kekal terjamin. Sekurang-kurangnya, negara sudah boleh mengurangkan kadar kebergantungan yang tinggi kepada import bekalan makanan ruji, dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif makmal hidup pada skala mega. Bukan itu sahaja, inisiatif ini bukan sahaja mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah sosial masyarakat seperti kelaparan, kebuluran dan kemiskinan, malah mampu mencetuskan peluang-peluang pekerjaan baharu terutama dalam bidang agrotani dan teknologi pertanian lestari.

Explore More