Disember 22, 2024

UTM Tekad Lahirkan Guru Berkemahiran Teknologi dan Menginsani

Assalamualaikum wrh wbt dan salam sejahtera kami ucapkan buat semua warga pendidik.

Sempena Hari Guru 2022 ini, kami ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan buat semua para guru dan pendidik yang telah berkhidmat penuh setia kepada negara dan masyarakat tanpa penat lelah.

Bagi pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kami ingin menyatakan tekad melahirkan guru berkemahiran teknologi dan menginsani para pelajar dengan nilai-nilai manusiawi.

UTM komited dalam melahirkan para guru yang dapat memenuhi keperluan negara dan dunia masa kini, khasnya melalui program pendidikan guru yang inovatif dan dapat mendepani era pasca pandemik COVID-19 dengan langkah lebih kontemporari.

Hikmah yang terkandung daripada pandemik ini jelas, iaitu perlunya institusi pendidikan, baik universiti atau sekolah memperhebat agenda digitalisasi serta memperlengkap para pelajar dengan jati diri insani khasnya nilai integriti, sinergi, kecemerlangan dan kelestarian. Nilai-nilai teras UTM yang tersebut ini menjadi pedoman buat semua warga universiti dalam melahirkan graduan berkualiti untuk negara dan dunia.

Dalam tahun mendatang, UTM akan mengorak langkah lebih jauh dengan mentransformasikan program pendidikan guru yang lebih fleksibel, berorientasikan masa depan, dan menjuarai pendidikan berasaskan nilai, yang semakin penting untuk kesejahteraan negara dan komuniti.

Oleh : Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Profesor Dr Zaidatun Tasir

Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor UTM manakala Profesor Dr Zaidatun Tasir ialah Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM

Explore More