April 20, 2024

Search
Close this search box.

 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membentuk kabinet baharu barisan Majlis Perwakilan Pelajar ( MPP) bagi sesi 2021/2022.

Seramai 31 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang telah dibentuk dengan diketuai oleh Saudara Danial Iskandar bin Jafridin dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sebagai Yang Di-Pertua.

Pelajar-pelajar ini telah dilantik menjadi ahli MPP baharu usai sesi Pilihanraya Kampus (PRK) UTM baru-baru ini yang dijalankan secara atas talian buat kali yang kedua.

Sistem e-Lection yang dibangunkan oleh Jabatan Perkhidmatan Digital (UTM Digital) telah digunakan secara menyeluruh oleh mahasiswa dalam memilih perwakilan mereka bersempena dengan pandemik COVID-19 di mana tidak semua pelajar berada dalam kampus.

PRK kali ini menyaksikan jumlah kerusi yang dipertandingkan di kampus Johor Bahru bagi Kerusi Umum dan Kerusi Fakulti/Sekolah kekal seperti tahun sebelumnya iaitu Tujuh Kerusi Umum dan 21 Kerusi Fakulti.

Kampus Kuala Lumpur juga mempertandingkan jumlah kerusi yang sama sepertimana sebelumnya dengan Dua Kerusi Umum dan Tiga Kerusi Fakulti. Bagi Kerusi Umum kampus Johor Bahru, tujuh orang calon diumumkan sebagai pemenang dari keseluruhan 11 calon yang bertanding untuk Kerusi Umum.

“Calon yang telah memenangi kerusi umum terdiri daripada Fakulti Sains (Tiga orang), Fakulti Kejuruteraan (Tiga orang) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (seorang).

Bagi calon yang bertanding di Kerusi Fakulti pula seramai 21 calon seperti yang dinyatakan dalam jumlah kerusi bertanding di atas, seramai 18 calon telah diisytiharkan memenangi kerusi masing-masing.

Peratusan Keluar Mengundi bagi yang mengundi untuk kampus UTM Johor Bahru dan kampus UTM Kuala Lumpur dalam PRK bagi sesi 2021/2022 adalah sebanyak 29.51 peratus dengan jumlah pengundi sebanyak 7858 orang. Buat julung kalinya, sesi pengumuman keputusan bagi PRK UTM 2021/2022 dilaksanakan sepenuhnya dalam talian secara lintas langsung melalui Facebook Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar yang diselia oleh JPMPP Sesi 2021/2022 di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim.

Explore More