November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Mei 2022.- Tidak semua orang ketahui siapakah pemilik suara merdu di sebalik tabir setiap nama graduan yang dipanggil untuk ke pentas bagi menerima skrol ijazah. Petugas-petugas ini memainkan peranan yang sangat penting bagi melancarkan perjalanan majlis.

Bagi Siti Norhana Miswan, 33 dan Nazran Afiq Ismadi, 26, yang bertugas sebagai pembaca nama graduan bagi Majlis Konvokesyen ke-65, sememangnya terdapat banyak momen yang bakal mereka kenangi suatu masa nanti.

Menurut Nazran yang kini masih bergelar sebagai seorang pelajar, terdapat banyak kenangan yang bermakna terutama sekali apabila bekerjasama dengan semua staf yang turut sama berkhidmat sebagai pembaca nama graduan.

“Pengalaman berharga untuk berganding bahu dengan staf yang kesemuanya berpengalaman membantu saya memberikan yang terbaik, terutamanya dari segi penambahbaikan dari segi sebutan, intonasi dan sebagainya.

Salah satu cabaran semasa bertugas pada Majlis Konvokesyen ke-65 ialah kesukaran dalam menyebut nama-nama graduan yang unik, panjang serta nama graduan antarabangsa,” kata beliau.

Menurut beliau, sekiranya terdapat kesilapan, para senior akan memberi tunjuk ajar sehingga untuk penyampaian yang lebih sempurna.

Majlis yang masyhur dan megah sudah pasti akan adanya halangan yang perlu ditangani sehabis baik serta perlu bersedia dengan segala kebarangkalian yang bakal berlaku.

En Nazran (kiri) bersama Cik Norhana antara dua individu yang berperanan penting bagi menjayakan majlis konvokesyen

Sementara itu bagi Norhana, cabaran sebagai emcee atau pembaca nama graduan juga adalah untuk sentiasa menjaga tempo ketika menyebut nama-nama graduan.

“Ini demi memastikan mengikut tempo yang telah ditetapkan oleh penyelaras konvokesyen bagi memastikan tiada hiccup semasa sesi pengijazahan.

Cabaran lain yang perlu dikawal adalah cara sebutan yang kadang-kala akan menyebabkan kesilapan menyebut atau tersasul.

Oleh itu, bagi setiap sesi, senarai nama kehadiran graduan berdaftar akan dibahagikan oleh penyeleras kepada para pembaca nama graduan dengan adil dan setiap petugas itu perlu berlatih menyebut satu persatu agar dapat membiasakan sebutan supaya lebih bersedia apabila tiba masanya menyebut nama-nama graduan tersebut,” tambah beliau lagi.

Petugas Jawatankuasa Kecil Bilik Konti, diketuai oleh Puan Hazila Binti Rahmat adalah terdiri daripada staf dari pelbagai jabatan di UTM yang telah dipilih khas mengikut bakat dan kelebihan masing-masing.

Mereka ialah Fadillah binti Abdul Hamid, Irwanti Binti Djoni @ Johan, Norhana, Hamimah binti Nozari, Nur Shahda Bt Md. Esa, Khaiirah Binti Tahir, Mohamad Jais Bin Mohd Jamil, Badrul Hurrairi Bin Muhammad dan Dzulhelmi bin Mohd Razali, manakala penyelaras ialah Amyrudin bin Mohamad Mali dan Sallekhuddin bin Abdullah.

Di sebalik tabir nama graduan dipanggil bagi menerima skrol ijazah

Perkara yang sering terjadi apabila bergelar sebagai seorang pembaca nama graduan sudah semestinya tersilap menyebut nama mereka. Namun, jika mereka dapat mengendalikannya dengan profesional iaitu dengan tidak menunjukkan kegelisahan atau kegusaran, maka ini menggambarkan bahawa mereka benar-benar berkemahiran dan berbakat dalam bidang pengacaraan. Menurut mereka juga, mereka sering ditegur oleh ibu bapa kepada graduan atas kesilapan menyebut nama anak mereka.

Pembahagian jadual dan gerak kerja pula berada dalam keadaan sistematik. Kebiasaannya, jika terdapat 8 orang ahli jawatankuasa, maka setiap petugas perlu menyebut 20 nama dan pertukaran ini adalah bertujuan bagi menjaga kredibiliti pengacaraan.

Tambahan lagi, mereka yang sudah sebati dalam bidang pengacaraan selama 3 atau 4 tahun ini beranggapan bahawa bidang ini merupakan satu peluang keemasan buat mereka untuk mengacarakan apa jua program yang bukan sahaja program melibatkan pelajar malah juga majlis unggul yang dihadiri oleh orang kenamaan.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual, kedua-dua petugas ini menyelitkan beberapa harapan bagi majlis konvokesyen akan datang, iaitu dengan mengekalkan sistem RFID yang sememangnya menunjukkan kelancaran majlis yang sangat teratur dan sistematik.

Mereka juga merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan konti dan penyelaras kerana sudi memberi tunjuk ajar dan menyampaikan banyak ilmu agar mereka dapat memperbaiki segala kesalahan dan kelemahan untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.

Explore More