April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Mei 2022.- Majlis Konvokesyen ke-65 melakarkan kejayaan manis berganda buat Nazratul Hazirah Binti Rushdan atau mesra dipanggil Ira, merupakan siswazah lulusan Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) di bawah Azman Hashim International Business School (AHIBS).

Beliau yang merupakan staf Bahagian Pengurusan Akademik berkhidmat di bawah Jawatankuasa Pengurusan Graduan (Pakaian Graduan) sejak 2018.

Beliau bertugas di bahagian stor jubah adalah bertanggungjawab terhadap urusan pengambilan dan pemulangan jubah graduan dan sepanjang perkhidmatan beliau, Ira telah berjaya menjayakan sebuah inovasi inventori jubah secara Radio-frequency identification atau singkatannya RFID.

Pada tahun 2019 lalu, masalah pertama yang dihadapi mengenai pengurusan jubah graduan adalah kesukaran untuk mengenal pasti inventori jubah dan pemulangan jubah oleh para graduan.

Ira bersama ibu bapa beliau pada Majlis Konvokesyen ke-65

Oleh itu, Ira yang mengetuai jawatankuasa mula bertindak bersama ahli dengan membuat perkiraan jubah yang ada dan seterusnya menyediakan kertas kerja untuk memohon kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) bagi mendapatkan peruntukan kepada gerak kerja penggunaan sistem RFID ini.

Rancangan untuk menggunakan kepakaran luar beralih dengan menggunakan kepakaran dalaman apabila mendapat maklumbalas yang positif dari UTMDigital untuk berkolaborasi bersama.

Ketua projek utama pada ketika itu ialah Pn Azilawati, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, banyak membantu untuk gerak kerja inventori jubah secara RFID, dengan kerjasama Pegawai Teknologi Maklumat (Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) (TNC (A&A) En. Madradzi, En Mohd Khairi yang bertanggungjawab bagi pembangunan modul sistem iConvo, Encik Riza’ain membantu integrasi RFID jubah pada sistem naik pentas, dan En Azmi berperanan membangunkan modul iConvo pada UTMSmart.

Ahli jawatankuasa yang terbentuk juga mula menyertai anugerah inovasi perkhidmatan peringkat universiti bagi projek inventori RFID dan dalam masa yang sama melantik Dr. Mohd. Adib dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik sebagai subject-matter expert. 

Keunikan bagi jubah graduan ini adalah RFID yang terletak di dalam poket velcro boleh bertahan sehingga 3000 kali cucian secara panas dan tidak akan mudah rosak.

Penyelenggaran yang mudah tanpa bateri memberikan nilai tambahan menggunakan sistem ini dalam jangka masa panjang. RFID  bagi setiap jubah akan mengandungi keunikan kodnya yang tersendiri dan akan berbeza-beza antara satu sama lain. Jubah RFID ini telah mula digunakan pada Majlis Konvokesyen yang ke-64, namun Jawatankuasa melihat penambahbahbaikan perlu diteruskan melalui beberapa Post-Mortem bagi memastikan sasaran “zero defect’ dalam implementasi teknologi ini.

Jika sebelum ini menggunakan ‘UHF RFID Readers’ boleh mengesan bacaan sejauh 3 meter, untuk kali ini pihak pengurusan telah mengubahnya dengan menggunakan kaedah karpet RFID dan bacaan paparan nama graduan semasa naik pentas boleh dikesan lebih tepat dengan jarak 1 meter.

Menurut Ira, momen menarik adalah apabila beliau dapat bekerja dan belajar secara seiring. Walaupun bergelar sebagai pelajar, tugasan yang dipikul tidak mengehadkan penambahbaikan inovasi dalam kerja. Beliau bergerak aktif dalam jabatan turut dinobatkan sebagai Johan Anugerah Inovasi Jabatan TNC (A&A) dua tahun berturut-turut tahun pada 2018 dan 2019.

Beliau yang ditaja sepenuhnya oleh biasiswa Yayasan ANGKASA gembira kerana bukan sahaja beliau ditaja, malah juga memperolehi Anugerah Dekan, Hadiah Akademik UTMSPACE serta dapat merialisasikan idea inovasi sistem RFID di atas pentas. Dalam kegigihan menamatkan pengajian 4 tahun tersebut, beliau turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UTM pada tahun 2020.

Ira mengakhiri ucapan dengan jutaan terima kasih yang diberikan kepada penyelia beliau, iaitu Dr. Ruzita Selamat, pensyarah-pensyarah yang banyak membantu seperti Dr. Sabrinah Adam, Dr. Umar Haiyat, Prof. Madya Dr. Noraini, Dr. Farrah Merlinda, Dr. Aslan, Dr. Mohd Effendi, kerana banyak memberi inspirasi dalam bidang kerjaya serta tidak dilupakan buat ahli keluarga, khususnya ibu bapa yang banyak mendoakan kejayaan.

Kini beliau juga sedang melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Falsafah (Pengurusan) di bawah penyelia Dr. Sabrinah Adam.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada keseluruhan petugas Jawatankuasa Pengurusan Graduan (Pakaian Graduan) kerana banyak membantu dalam sumbang saran, boleh menerima perubahan yang berlaku serta mewujudkan interaksi perbincangan yang baik, terutama sekali kepada En S. Irwan yang menguruskan stor jubah, Pn Noraszlin mengurus kewangan dan deposit jubah serta pihak pengurusan Jabatan TNC (A&A) yang memberikan peluang untuk bergerak lebih cemerlang, kreatif dan inovatif.

Explore More