April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Mei– Impian Asfaeliza Paino, 35 yang terpendam selama hampir lima bulan untuk menaiki pentas bagi menerima segulung ijazah akhirnya tercapai apabila Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-65 dilangsungkan secara bersemuka pada hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dengan Kepujian itu memilih untuk menangguhkan sesi konvokesyennya yang sepatutnya dijadualkan pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-64 Disember lepas.

Penangguhan ini terpaksa dilakukan memandangkan ahli keluarga terutamanya ibu bapa tidak dibenarkan untuk hadir bersama di dalam dewan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak universiti akibat sekatan pergerakan sewaktu pandemik COVID-19 yang melanda negara baru-baru ini.

Asfaeliza Paino, 35, menerima skrol graduasi yang disampaikan oleh Professor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM

“Saya mahu ibu bapa saya melihat kejayaan anaknya mendapat ijazah di atas pentas hasil daripada pengorbanan mereka” ulas beliau apabila ditanya berkenaan penangguhan sesi konvokesyennya.

Apa yang lebih manis lagi, Asfaeliza Paino yang merupakan anak kelahiran Wilayah Persekutuan itu turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Dekan dan Anugerah Khas Kecemerlangan Akademik dalam majlis yang penuh bermakna itu.

Pencapaian cemerlangnya itu adalah tidak lain tidak bukan hasil daripada kecekalan dan pengorbanan beliau yang juga turut memegang tanggungjawab sebagai Penolong Pegawai Tadbir N29 di pejabat Naib Canselor UTM. Mempunyai komitmen terhadap pekerjaan dan pelajaran tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk fokus terhadap komitmen pengajiannya.

Lebih manis beliau juga merupakan petugas Majlis Konvokesyen UTM.

Pengurusan masa untuk fokus terhadap kerjaya dan pada masa yang sama tidak meninggalkan komitmen terhadap pengajiannya merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh Asfaeliza dalam perjalanannya demi menggenggam segulung ijazah. Beliau hanya meluangkan masa hujung minggu untuk fokus kepada pengajiannya memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab terhadap karier sepanjang hari minggu.

“Saya meluangkan masa untuk belajar pada hari Jumaat dan Sabtu, seawal jam 6 petang hingga 10 malam”, tambah beliau yang mengulas akan cabaran dan halangan yang dihadapinya.

Bekas penuntut Diploma E-Commerce di Management & Science University (MSU) itu menzahirkan perasaan syukur dan berterima kasih atas dorongan dan sokongan yang padu diberikan oleh rakan-rakan sekeliling termasuklah ahli keluarga dan para pensyarah sehingga beliau berjaya berada pada tahap ini.

Hasil dorongan dan nasihat daripada Dr. Irina Safitri Zen, mantan Pengarah Kelestarian Kampus UTM yang menyokong usaha beliau untuk meneruskan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda walaupun telah menceburi bidang karier terlebih dahulu memberikan impak positif dan semangat kepada diri untuk meneruskan cita-citanya.

“It’s never too late dan pedulikan apa yang orang cakap”, tambah beliau yang berharap agar para pelajar dan bakal graduan tidak berputus asa dalam meneruskan pengajian walaupun berhadapan cabaran mahupun dihimpit komitmen yang banyak.

Menurutnya lagi, pemilihan ‘circle’ rakan yang betul adalah penting sebagai salah satu tips untuk pelajar memastikan pengajiannya kekal ‘keep on track’. Belajar secara berkumpulan merupakan peluang yang perlu diambil memandangkan rakan-rakan di sekeliling mempunyai pelbagai kelebihan dalam pelbagai aspek.

Asfaeliza merakamkan detik indah bersama ahli keluarganya selepas Majlis Konvokesyen UTM Ke-65 di Dewan Sultan Iskandar petang tadi.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mempunyai perancangan untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah, PHD demi merealisasikan impiannya membanggakan ahli keluarga terutama ibu dan bapanya sendiri.

Seramai 380 orang graduan Ijazah Sarjana Muda telah mengambil tempat pada sidang ketujuh Majlis Konvokesyen UTM Ke-65 yang disempurnakan oleh Professor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia di Dewan Sultan Iskandar petang tadi.

Explore More