April 24, 2024

Search
Close this search box.

Penantian 20 tahun Leow Kam Choy, 53 untuk menggenggam segulung ijazah sarjana terbalas indah apabila beliau dapat meraikan hari graduasi bersama-sama kedua anak perempuannya pada Majlis Konvokesyen UTM kali ke-65.

Beliau yang juga merupakan alumni UTM tahun 1993 itu telah berkongsi kisah di sebalik penantian 20 tahun yang perlu dilaluinya sebelum berjaya menggenggam Ijazah Sarjana dalam jurusan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah selepas tempoh 3 tahun pembelajaran.

“Saya pernah melanjutkan pelajaran master dalam jurusan Pentadbiran dan Pengurusan Tanah pada tahun 2002, tetapi kerana keadaan yang tidak mengizinkan ketika itu, saya tidak dapat menamatkan pelajaran.

Maka kejayaan hari ini merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi saya kerana penantian selama 20 tahun berbaloi dan lebih bermakna apabila secara kebetulan saya juga dapat bergraduasi bersama kedua-dua anak perempuan saya,”.

Tidak menyangka akan bergraduasi bersama- sama ayah tercinta, Leow Hui Xian dan adiknya Leow Hui Qing yang masing-masing juga telah menamatkan pelajaran dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah mengakui, kerjaya ayah mereka sebagai juruukur telah banyak mempengaruhi keputusan mereka dalam memilih laluan kerjaya.

Walaupun tidak berpeluang untuk menamatkan pengajian sarjananya yang pertama, dalam tempoh 2 dekad penantian tersebut tidak disiakan begitu sahaja,

Ini terbayar apabila dengan hasil pengorbanannya, Leow Kam Choy kini telah mempunyai firmanya sendiri iaitu Juruukur Megah Jaya yang beroperasi di Taman Desa Skudai.

Kelonggaran bekerja dari rumah ketika pandemik telah menghidupkan kembali semangat juang beliau untuk menyambung pembelajarannya yang tertangguh.

Melanjutkan pelajaran ketika usia sudah menginjak ke tahun 50-an di dalam zaman modenisasi kini, ia telah sedikit sebanyak memberikan cabaran buat beliau sepanjang tempoh pengajian terutamanya cara-cara untuk mengendalikan pelbagai perisian di dalam komputer.

Namun begitu, seperti aturan yang tersirat indah, cabaran tersebut telah menjadi medium bagi Leow Kam Choy untuk berinteraksi dengan lebih kerap dan rapat bersama anak-anaknya.

Hui Qing berkata, tidak dapat dinafikan bahawa interaksi antara bapa bersama kesemua  adik-beradiknya yang kesemuanya perempuan kadang-kala terasa janggal dan kekok kerana tidak banyak topik yang boleh dibualkan.

“Apabila ayah mengalami kesukaran untuk menggunakan sesuatu perisian, kami lah yang banyak membantu dan mengajar ayah perkara-perkara tersebut dan secara tidak langsung masa yang kami luangkan bersama ayah telah mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga”  tambah Hui Qing.

Beliau turut menitipkan pesanan buat generasi kini, Leow berpesan, “ ‘Study never end’, selagi anda diberi peluang dan kudrat untuk menuntut ilmu, tuntutlah semaksima mungkin kerana ilmu merupakan harta paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang manusia, manfaat yang bakal diperolehi adalah lebih luas daripada apa yang anda sangkakan.”

Menuntut ilmu tidak mengenal batas usia, Leow kini sudah mendaftarkan dirinya untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di dalam bidang yang sama dan berharap kesungguhan yang ditonjolkan olehnya untuk menuntut ilmu dapat menjadi ikutan anak-anaknya kelak.

Explore More