April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pelantikan Majlis Ketua Blok Perkasa Medium Penyampaian dan Kepedulian Warga KTHO

JOHOR BAHRU, 15 Apr.- Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) dan Kluster Hospitaliti JTNCP KTHO telah melaksanakan Upacara Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Ketua Blok (MKB) bagi sesi 2021/2022.

Majlis yang dijalankan buat julung kalinya secara hibrid itu telah dihadiri seramai 260 warga KTHO.

Sebahagian besar warga KTHO hadir secara fizikal di Dewan Sri Merbau manakala sebahagian kecil mengikuti upacara ini menerusi platform aplikasi dalam talian Cisco Webex.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan Majlis Ketua Blok (MKB) yang akan bertindak sebagai medium perantara komunikasi antara warga KTHO dengan Pengurusan KTHO.

Di samping itu, program ini menjadi platform bagi MAFAN menerangkan kepada pelajar-pelajar berkenaan hal ehwal disiplin dan etika semasa berada dalam kawasan kampus. Program ini juga turut menjadi medan untuk mengeratkan silaturrahim sesama warga KTHO.

Selepas selesai upacara pelantikan MKB, satu sesi mini townhall telah diadakan, yang mana ia telah memberi peluang kepada Dr. Norahim Ibrahim, Pengetua KTHO dan En. Roslan Abd Ghani, Penolong Pegawai Tadbir Kanan Kluster Hospitaliti JTNCP KTHO untuk menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh pelajar terutama berkenaan aduan kerosakan dan isu-isu kebajikan yang timbul.

Selain itu, Dr. Norahim turut mengambil kesempatan dengan menerangkan kepada pelajar peraturan-peraturan di kolej yang perlu diberi perhatian dalam usaha untuk melahirkan warga KTHO yang lebih berdisiplin.

Menerusi program ini, diharapkan para pelajar yang telah dilantik sebagai Ketua Blok dapat menggalas tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, komited dan berdedikasi. Penganjuran program ini turut diharap dapat memantapkan lagi sistem penyampaian aduan mengenai isu-isu kebajikan dalam memastikan kesejahteraan warga KTHO tetap terjaga.

Disediakan oleh: Siti Raudhah Binti Mohamad Saufi & Pavitraa Chandra Mohan (JKM KTHO) & Mohd Fadhtul Ikmal Misnal (Penyunting Penerbitan Media KTHO)

Explore More