April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Aktif dalam bidang kokurikulum bukan satu penghalang atau alasan kepada kejayaan Lim Wei Sheng, 24, sehingga berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja bersempena Majlis Konvokesyen ke-65 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bermula pada hari ini.

Pemenang ‘Best Idea Award’ dalam Kejohanan ABU Asia-Pacific Robot Contest (ABU ROBOCON) yang dianjurkan di Vietnam pada tahun 2018 itu adalah merupakan anak kedua dari tiga orang adik-beradik.

Kehebatannya dalam bidang mekatronik juga tidak dapat dinafikan lagi apabila turut berjaya menjulang nama UTM dalam merangkul juara dalam Malaysia’s First Brain-Computer Interface Drone Competition pada tahun 2020.

Beliau turut bergiat aktif dalam bidang robotik sebagai Ketua Unit Program bagi Kelab Robocon UTM.

Lim Wei Sheng pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-65 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar pada Sabtu pagi

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini bercita-cita untuk membuka sebuah syarikat Robotik kepunyaan sendiri untuk membalas jasa ibu bapanya yang telah banyak berkorban wang ringgit dan tenaga dalam membantu beliau sehingga berada pada tahap ini.

Menempuh aktiviti pembelajaran dalam situasi pandemik selama empat semester tidak menjadi satu masalah yang besar kepada beliau untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan anugerah yang sangat berprestij itu.

Menurutnya ketika ditemu bual selepas sesi konvokesyen pada pagi tadi, beliau mengakui akan cabaran apabila semua aktiviti kuliah terpaksa dijalankan secara dalam talian sehingga menyebabkan beliau dan rakan-rakanya kurang terdedah kepada kelas atau bengkel praktikal.

Namun, beliau berpegang pada prinsip “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih” dalam mengekalkan kecemerlangannya pada setiap semester.

Tambah beliau, mod pembelajaran secara dalam talian secara tidak langsung memberikan pelbagai peluang dan kelebihan kepadanya untuk mengasah bakat softskill dan praktikal tidak kira dalam akademik mahupun bidang robotik.

Hal ini dibuktikan apabila beliau bersama rakan-rakannya yang tidak melepaskan peluang untuk menyertai pelbagai pertandingan dan bengkel robotik secara dalam talian memandangkan ia berlangsung secara fleksibel di mana-mana sahaja.

Menurut Lim Wei Sheng, pengorbanan bapanya yang bekerja sebagai pemandu traktor dan ibunya yang hanya seorang suri rumah turut menjadi motivasi untuknya belajar bersungguh-sungguh.

“Tanpa bebanan hutang pengajian, saya dapat membantu meringankan beban keluarga untuk sebuah kehidupan yang lebih baik selepas ini”, katanya.

Kecemerlangan Lim Wei Sheng terserlah apabila berjaya memperoleh anugerah dekan bagi lapan semester berturut-turut dan berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama dengan PNGK 3.99.

Beliau kini memanfaatkan ilmu dalam menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui e-commerce di samping mahu mendapatkan kerja dalam bidang Robotik dan Automatik.

Explore More