April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Pasangan graduan Majlis Konvokesyen ke-65 (MK65), Dr. Jamilah Mahmood bersama suaminya, Dr. Muhammad Aliif Ahmad antara 409 graduan peringkat Doktor Falsafah yang meraikan kejayaan mereka menggenggam segulung ijazah pada sesi I MK65 di sini, hari ini.

Merupakan pensyarah kanan di Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan, pasangan yang berusia 33 tahun ini mula berinteraksi antara satu sama lain ketika melaksanakan kerja penyelidikan, menghadiri kelas dan menjalankan tugasan sehingga mula adanya keserasian bersama. 

Pasangan ibu bapa kepada anak berusia satu tahun setengah ini semakin serasi apabila sering berhubung bersama bermula di peringkat Sarjana sehinggakan kedua-duanya kini berjaya memperoleh Doktor Falsafah (Sistem Maklumat) pada hari yang bermakna ini.

Kemesraan dalam persahabatan mula terbentuk sewaktu pertemuan di kelas apabila Dr. Aliif seorang sahaja terdiri daripada pelajar lelaki warga Malaysia pada ketika itu dan beliau mula mendapatkan nombor telefon dari Dr. Jamilah untuk memudahkan urusan pengajian beliau.

Menariknya, jodoh bak kata orang, kedua-duanya sentiasa bertemu apabila sama-sama mendaftar di bawah kursus yang sama yang memudahkan perbincangan secara berkumpulan dan apabila menyambung ke peringkat Doktor Falsafah, mereka menjalankan penyelidikan yang makmal terletaknya secara bersebelahan. 

Pasangan ini saling membantu sepanjang tempoh penyelidikan dalam menghasilkan tesis dalam bidang yg sama, dan sering bersama menghadiri persidangan di dalam dan luar negara dan secara kebetulan mendapat penyelia yang juga terdiri daripada pasangan suami isteri, Dr. Halina Mohamed Dahlan dan Professor Madya Dr. Ab Razak Che Hussin.

Gandingan mesra yang mula mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 ini telah berkhidmat sebagai pensyarah di Qaiwan International University, Kurdistan, Iraq hasil peluang yang diberikan oleh pihak UTM pada ketika itu telah membuka francais dalam bidang perkomputeran di sana.

Kini, kedua-duanya telah kembali Ke UTM dan kini sedang berkhidmat sebagai pensyarah di Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan.

Ucapan terima kasih tidak terhingga diberikan kepada UTM kerana banyak memberikan sokongan buat mereka berdua serta ucapan tahniah diberikan kepada semua graduan Majlis Konvokesyen UTM ke-65 sepanjang minggu ini.

Sebelum mengakhiri tutur kata, Dr. Jamilah berpesan kepada warga pelajar yang sedang menempuhi alam pembelajaran, “dalam belajar, memang ada cabaran yang sangat banyak untuk menghabiskannya bermula dari Master ke PhD, tetapi yang penting kecekalan dan semangat untuk menghabiskannya sehingga akhir kerana tiada apa yang mustahil.

Yang penting berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT,” tambah beliau.

Explore More