April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Mei — Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ( UTM ) ke-65 (MK65) di samping meraikan kejayaan graduan, turut mencatat kenangan manis kepada semua petugas dan warga UTM apabila turut sempat meraikan persaraan mantan Naib Canselor, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar.

Naib Canselor keenam UTM tersebut diraikan selepas selesai sesi ke-12 MK65 bertempat di Bilik Jamuan, Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail bersama petugas MK65 telah meraikan persaraan Datuk Wahid. Turut hadir ialah Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah binti Ismail (dua dari kanan) dan Timbalan Pendaftar, Encik Azri bin Hohad (paling kanan).

Dalam sesi ke-12 Datuk Wahid telah menghadiri sesi konvokesyen anak beliau, Aisyah Wahidah Wahid yang menerima skrol Diploma Ukur Bahan di bawah Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE).

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Naib Canselor, beliau dikenali dengan ‘servant leadership’ dan universiti berteraskan kemanusiaan.

Beliau juga sangat aktif dalam menjayakan inisiatif kelestarian kampus serta salah seorang ‘champion’ bagi nilai teras universiti, ISES.

Datuk Wahid dalam ucapan ringkas beliau menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan beliau sangat berterima kasih kepada semua petugas kerana sempat mencuri masa untuk meraikan beliau di sebalik kesibukan menguruskan MK65.

Sempena persaraan beliau, Datuk Wahid tulus mendoakan agar universiti ini akan terus kekal cemerlang dan lebih gemilang lagi di bawah Naib Canselor dan pengurusan universiti serta kerjasama dan komitmen warganya.

“Kepada pelajar pula perlu bersyukur atas kejayaan yang diraih mereka kerana kejayaan tersebut bukan dicapai dengan mudah dan telah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran.

Saya juga berharap agar semua warga UTM termasuk staf dan pelajar akan sentiasa dalam keadaan baik dan dirahmati-Nya agar dapat terus menyumbang kepada negara dan bangsa,” akhiri beliau.

Explore More