April 26, 2024

Search
Close this search box.

MK65 Melabuhkan Tirai dengan 14 Sesi Raikan Kejayaan 5,672 Graduan

JOHOR BAHRU, 28 Mei – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-65 (MK65) melabuhkan tirainya usai sesi ke-14 yang disifatkan majlis konvokesyen terlama sepanjang penganjurannya.

Diadakan dalam 14 sesi bermula 21 Mei hingga 28 Mei, MK65 telah meraikan 5,672 graduan dengan membawa kepada angka alumninya kepada 211,419 di mana 9,005 ialah graduan antarabangsa daripada lebih 70 buah negara.

Di samping itu ia turut menganugerahkan Anugerah Kehormat kepada YBrs. Tuan Haji Selamat bin Hashim dan dua lagi tokoh negara mendapat penganugerahan gelaran Profesor Emeritus iaitu YBrs. Dato’ Ir Dr Alias bin Mohd Noor dan YBrs. Dr Sabariyah binti Din.

Sesi pengijazahan telah disempurnakan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Permaisuri Johor bersama-sama Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin bin Ibrahim.

MK65 juga mencatat kenangan manis apabila secara julung kalinya ibu bapa / keluarga dibenarkan berada di dewan untuk sama-sama meraikan kejayaan graduan pada sesi pengijazahan pasca pandemik Covid-19.

Ini ditetapkan dengan mengambil kira besarnya erti sebuah konvokesyen kepada kegirangan graduan dan ahli keluarga.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap mereka akan mencurahkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam perkhidmatan di alam pekerjaan nanti bagi meneruskan kegemilangan UTM.

“Graduan UTM merupakan penyambung perjuangan mengangkat martabat UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang telah membentuk jiwa dan raga dengan kepakaran teknologi dan nilai-nilai insani.

Justeru graduan UTM harus menjadi insan yang mempunyai hubungan spiritual yang kuat dengan Tuhan Semesta Alam, menampilkan nilai hikmah dalam tutur kata dan perbuatan untuk mendampingi masyarakat dengan penuh santun, sentiasa berdiplomasi dengan pelbagai pihak serta menjadi penyelesai masalah yang dihadapi negara dan dunia, ” tambah beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Majlis Konvokesyen ke-65, Puan Nor Azizah binti Ismail yang juga Pendaftar UTM berkata penganjuran MK65 berjalan dengan sangat baik hasil kerjasama semua petugas di bawah Jawatankuasa masing-masing.

“Saya sangat berbesar hati dan setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada semua petugas yang terlibat.

Mempengerusikan majlis konvokesyen buat kali pertama menjadikan saya amat teruja apatah lagi dengan pelbagai pembaharuan dalam penganjurannya seperti kelonggaran prosedur operas standard membolehkan semua pihak belajar pelbagai perkara yang baharu,” kata beliau.

Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah binti Ismail mengabadikan kenangan bersama Naib Canselor, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail dan kesemua petugas MK65 pada sesi terakhir di sini, hari ini.

Tambah beliau juga, rata-rata graduan dan ibu bapa sangat berpuas hati dan ini perlu dikekalkan serta sebarang penambahbaikan juga perlu dilakukan sekiranya perlu bagi memastikan majlis konvokesyen akan datang akan terus dilaksanakan dengan momentum sebaik ini.

“Kepada graduan, anda adalah anak UTM dan alumni UTM maka bawalah nama UTM dengan baik, praktikkan DNA UTM yang diamalkan selama ini untuk memberi contoh yang baik di mana sahaja anda bekerja,” tambah beliau lagi.

Explore More