April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-65 (MK65) telah meraikan 5,672 orang graduan di samping menyaksikan beberapa tokoh akademik mendapat penganugerahan di Dewan Sultan Iskandar, di sini, bermula hari ini.

Diadakan dalam 14 sesi bermula 21 Mei hingga 28 Mei, MK65 telah menganugerahkan Anugerah Kehormat kepada YBrs. Tuan Haji Selamat bin Hashim dan dua lagi tokoh negara mendapat penganugerahan gelaran Profesor Emeritus iaitu YBrs. Dato’ Ir. Dr. Alias bin Mohd Noor dan YBrs. Dr. Sabariyah binti Din.

Sesi pengijazahan telah disempurnakan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Permaisuri Johor bersama-sama Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin bin Ibrahim.

Sesi MK65 kali ini tetap dijalankan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) namun dengan sedikit kelonggaran apabila graduan dibenarkan masuk ke Dataran UTM untuk saringan kesihatan secara pandu-lalu dengan kenderaan masing-masing sebelum menuju ke parkir yang disediakan di Laman Menanti.

Pada kali ini juga tiada lagi perarakan graduan masuk ke dewan dan mereka akan bergerak sendiri dari Laman Menanti terus ke dewan untuk sesi pengijazahan.

MK65 juga mencatat kenangan manis apabila secara julung kalinya ibu bapa / keluarga dibenarkan berada di dewan untuk sama-sama meraikan kejayaan graduan pada sesi pengijazahan pasca pandemik Covid-19.

Ini ditetapkan dengan mengambil kira besarnya erti sebuah konvokesyen kepada kegirangan graduan dan ahli keluarga.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata, UTM telah melahirkan seramai 211,419 graduan dengan 9,005 ialah graduan antarabangsa daripada lebih 70 buah negara.

“Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 4 April lalu, kadar kebolehpasaran graduan (GE) UTM 2021 ialah 97.9% (warganegara), iaitu GE yang tertinggi dalam kalangan lain-lain Universiti Awam di Malaysia manakala graduan berpendapatan premium iaitu permulaan gaji RM4,000.00 ke atas juga meningkat dengan kadar 31.2% berbanding 26.4% pada tahun 2020.

Ini membuktikan bahawa UTM berjaya menghasilkan graduan yang berkualiti yang menjadi rebutan industri di pasaran,” kata beliau.

Datuk Fauzi turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap mereka akan mencurahkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam perkhidmatan di alam pekerjaan nanti bagi meneruskan kegemilangan UTM.

“Graduan UTM merupakan penyambung perjuangan mengangkat martabat UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang telah membentuk jiwa dan raga dengan kepakaran teknologi dan nilai-nilai insani.

Justeru graduan UTM harus menjadi insan yang mempunyai hubungan spiritual yang kuat dengan Tuhan Semesta Alam, menampilkan nilai hikmah dalam tutur kata dan perbuatan untuk mendampingi masyarakat dengan penuh santun, sentiasa berdiplomasi dengan pelbagai pihak serta menjadi penyelesai masalah yang dihadapi negara dan dunia,” tambah beliau.

Diadakan dalam 13 sesi, penganugerahan Ijazah diberikan kepada 748 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (1915), Ijazah Sarjana Muda (4326) dan Diploma (1967).

Daripada jumlah tersebut, seramai 502 orang graduan antarabangsa dari 40 buah negara turut dianugerahkan ijazah di mana Indonesia, Nigeria dan Iraq merupakan tiga negara dengan bilangan graduan tertinggi.

MK65 turut menghargai kecemerlangan akademik pelajar dengan pelbagai anugerah seperti Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja dan lain-lain.

Pada MK65 ini, beberapa pelajar cemerlang seperti Eileen Khiu Xin Ying menerima dua anugerah iaitu Anugerah Canselor & Anugerah Gemilang Akademik, penerima Anugerah Diraja, Lim Wei Sheng, penerima Anugerah Canselor, Muhammad Talhah bin Jima’ain, penerima Anugerah Pro-Canselor, Fadina binti Amran manakala penerima Anugerah Alumni ialah Salisu Garba.

Lebih manis, MK65 ini juga menyaksikan kejayaan Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi bin Rohani menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Penyelidikan: Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, pasangan suami isteri iaitu pensyarah UTM, Jamilah Mahmood, Zuriati binti Janin yang bergraduan bersama pelajarnya serta Dr. Inthrani Shammugam yang merupakan graduan warga emas.

Explore More