Kekurangan Diri Bukan Penghalang Genggam Ijazah

JOHOR BAHRU, 23 Mei –  Tiada apa yang mustahil dalam usaha mengejar kejayaan sungguhpun berdepan kekangan dari segi kekuatan fizikal.

Muneswary A/P Saminathan, 42, salah seorang graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) berkata kekurangan diri bukanlah penghalang untuk beliau menggenggam segulung ijazah, pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-65, di sini hari ini.

Saya tidak berhadapan dengan masalah yang besar dan masih mampu mengawal dan menjalani kehidupan dengan baik sepanjang menuntut di UTM, tambah beliau.

Muneswary yang menghidapi kekurangan upaya jenis fizikal Foot Drop sejak tahun 2010, antara graduan yang berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Falsafah dalam Bidang Penyelidikan Sains Komputer.

Graduan yang merupakan anak kelahiran Pekan, Pahang itu adalah seorang yang aktif bersukan suatu ketika dahulu. Lontar peluru dan lempar cakera merupakan sukan kegemaran beliau sejak di bangku sekolah lagi.

Namun pada tahun 2010, doktor telah mengesahkan beliau mengalami kekurangan upaya jenis Foot Drop, berikutan kecederaan fizikal yang dialaminya sewaktu terlibat dalam kejohanan bowling.

Namun, masalah kekurangan upaya yang dihadapi oleh Muneswary sedikit pun tidak mematikan api obor keazaman beliau untuk tekad menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana.

Beliau yang juga merupakan pensyarah bagi jurusan Reka Bentuk Grafik di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang turut merasakan kesan kesakitannya sewaktu beliau berdiri mahupun duduk dalam jangka masa yang lama.

Situasi ini memberikan rasa ketidakselesaan kepadanya untuk menyiapkan apa-apa tugasan mahupun penulisan thesis beliau sepanjang pengajiannya.

“Walaupun ada kekurangan dari sudut kesihatan tubuh badan, tidak bermakna kita kurang kemampuan dari sudut pendidikan” katanya ketika ditemubual secara dalam talian selepas Majlis Konvokesyen Ke-65 pagi Ahad.

Muneswary meluangkan masa hampir setiap hari minggu untuk menyiapkan penulisan thesis beliau seawal jam 9 pagi sehingga 4:30 petang di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) UTM.

Namun, sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tempoh hari, situasi tersebut telah menjejaskan keadaan pembelajarannya akibat terpaksa menghabiskan hampir sepenuh masa di rumah tanpa sebarang sumber yang dapat membantunya untuk menyiapkan penulisan beliau.

Komitmen untuk menjaga anak-anaknya di rumah memaksa beliau untuk mengubah dan menyusun masa belajarnya pada jam 10 malam sehingga 4 pagi.

Akibat dari masalah kesihatan yang agak kritikal sewaktu beliau melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana pada bulan April 2020, beliau terpaksa memilih untuk memohon pelanjutan tempoh pengajian selama tiga bulan demi melancarkan urusan pengajiannya di samping menjaga keadaan kesihatannya.

“Kawan-kawan saya menasihati saya untuk tidak menyambung master dan untuk tidak mengambil mod research, namun saya masih berkeras demi perancangan masa hadapan saya,” tambah beliau yang juga merupakan penerima biasiswa Hadiah Latihan Persekutan (HLP) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perancangannya untuk menyambung mod penyelidikan dalam Ijazah Sarjana adalah sebahagian usahanya untuk mempelajari selok belok awal sebagai persiapan sebelum menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah kelak.

Muneswary juga sentiasa bertekad dalam diri untuk membalas jasa baik ahli keluarga dan para pensyarahnya yang menjadi tulang belakang beliau sehingga berada pada peringkat ini.

Disamping tidak mengabaikan kesihatannya, beliau akan sentiasa memastikan pendidikannya ‘keep on track’ dan tidak mudah hilang tumpuan. “Saya tidak boleh rasa terlalu santai walaupun pada awal semester, saya akan susun jadual harian terlebih dahulu untuk elakkan masa saya terbazir dengan perkara yang leka”, tambah beliau apabila ditanya berkenaan tips dan cara beliau menyusun strategi belajar.

Muneswary A/P Saminathan bergambar kenangan bersama penyelianya, Puan Norhaida Mohd Suaib

Sokongan dan dorongan yang diberikan oleh Norhaida Mohd Suaib, penyeliabeliau telah melonjakkan semangat Muneswary untuk tidak mudah berputus asa kerana beliau percaya “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” untuk setiap cabaran dan rintangan yang perlu dihadapinya.