Julai 27, 2024

Search
Close this search box.

Kehilangan Orang Tersayang Bukan Penghalang Graduan Peroleh Anugerah Dekan

JOHOR BAHRU, 27 Mei 2022.– Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) yang berusia 24 tahun, Sharifah Hareezan Bataller Binti Syed Charles, membuktikan bahawa kehilangan ibu bapa di saat waktu belajar tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berusaha demi merangkul ijazah di Majlis Konvokesyen ke-65 yang bertempat di Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Pn. Sharifah yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik, beliau mula diuji sewaktu berada di semester kedua apabila ayahnya meninggal dunia secara mengejut dan pemergiannya itu menyebabkan beliau terkesan secara emosi dan fizikal.

Beliau juga pada ketika itu menghidapi depresi, anxiety attack, hampir pengsan di dalam kelas sehinggakan sewaktu beliau keluar dari kelas, beliau terjatuh lalu dibawa ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Datuk beliau yang sangat beliau sayangi dan telah dianggap sebagai bapa kedua kerana banyak memberikan sokongan dari segi pembelajaran seperti elaun pembelajaran serta menghadiahkan laptop dan keperluan barang untuk kegunaan semasa belajar juga telah meninggal dunia pada tahun 2020.

Kesedihan semakin mula dirasai. Seminggu selepas pemergian datuknya, ibu beliau mula jatuh sakit dan menghidap penyakit sawan. Menurut beliau, jika sawan berterusan melebihi 30 minit, pesakit akan mengalami kerosakan otak dan pada ketika itu, ibu beliau terkena sawan sehingga ke 2 jam.

Apabila ibu beliau mula sedar, badannya berada dalam keadaan lemah dan cara berjalan juga tidak seimbang. Sawan kali kedua yang dihidapi oleh ibu kepada Pn. Sharifah mulai kritikal apabila penyakit sawan itu menyebabkan ibunya lumpuh satu badan.

Tahap yang paling membimbangkan adalah sewaktu ibunya dijangkiti wabak COVID-19, 24 jam tidak berhenti terkena sawan dan doktor pada ketika itu menyatakan bahawa penyakit yang dihidapi oleh ibunya merupakan penyakit otak yang paling janggal dan pakar perlu mengkaji semula kes ibunya.

Selepas berjuang selama beberapa bulan, ibu kepada Pn. Sharifah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2020. Pada ketika itu, Prof Noor Nahar dan kebanyakkan pensyarah di AHIBS, banyak membantu dan memberi sokongan buat beliau. Pensyarah itu juga melawat keluarga Sharifah ketika ibunya menghembus nafas terakhir di Hospital Putrajaya. Beliau juga turut memberi sumbangan serta membantu dalam menguruskan urusan imigresen kerana urusan pengebumian perlu mendapatkan kelulusan dari kedutaan negara Filipina.

Pengalaman yang paling mencabar di UTM adalah beliau kehilangan orang yang beliau rapat selama tiga tahun berturut-turut. Beliau juga perlu meneruskan pelajaran sambil menjaga ibu tercinta beliau. Terdapat dua peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Pertama apabila Sharifah menjawab peperiksaan di hospital dan beliau dalam kegusaran kerana risau akan kes COVID-19 yang kian meningkat dan 3 pesakit hospital meninggal bersebelahan ibunya.

Pn Sharifah bersama suaminya

Keduanya adalah di saat ibunya dalam keadaan yang teruk. Satu fungsi organ penting dalam badan ibunya tidak berfungsi. Beliau menyaksikan ibu kekurangan oksigen sehinggakan seluruh badan ibunya menjadi biru. Peritnya melihat seorang ibu dalam keadaan yang begitu.

Walaupun terpaksa menghadapi situasi begitu, namun Pn. Sharifah tetap tabah dan redha kerana beliau percaya itulah yang terbaik buat ibunya. Akhirnya, ibunya tidak lagi terseksa.

‘Alhamdulillah, Allah kurniakan saya dengan orang sekeliling yang baik, yang selalu menyokong dan memberi dorongan terutamanya suami yang banyak membantu dan memberi kata-kata semangat.

Tidak dilupakan juga buat nenek, saudara-mara, pensyarah dan rakan-rakan yang banyak memberikan informasi tentang pelajaran apabila saya ketinggalan. Saya sememangnya bersyukur dikelilingi oleh orang yang baik’

Sepanjang beliau menjaga ibunya, beliau bersama adik-beradiknya sangat sayang akan ibunya dan mengganggap pada situasi itu, ibunya seolah-olah seperti bayi.

Mereka perlu menyayangi dan merapikan beliau dan pada pandangan beliau, tidak semua orang sedar betapa berkatnya menjaga seorang ibu.

Tambah beliau, orang yang diuji dengan ibu bapa yang sakit dan tidak bertindak sewenangnya untuk melarikan diri daripada menjaga mereka merupakan anak yang sanggup berkorban demi kedua ibu-bapanya.

Beliau mengakhiri sesi perkongsian dengan memberi penegasan;

‘Jagalah kedua ibu bapa selagi mereka masih ada. Saya tidak mahu orang akan mula jatuh kepada penyesalan kerana tidak menjaga kedua-dua ibu bapa kerana tiada guna menyesal apabila nasi sudah pun menjadi bubur’.

Maka, ambilah kisah Pn Sharifah dan ambil pengajaran. ‘Berkorbanlah buat ibu bapa kerana percayalah berkat menjaga kedua ibu bapa akan menghasilkan nilai yang tiada tandingannya. Allah akan mengurniakan rezeki yang tidak akan terputus. Kita bakal melihat apa yang Allah akan berikan kepada kita suatu hari nanti dan yang paling penting kita akan merasa tenang kerana kita pernah berjasa dengan ibu bapa di saat mereka masih berada di dunia ini’.

Explore More