Mei 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 14 Apr. — Pasukan penyelidik Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA) telah mendapat pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) apabila berjaya memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi fasiliti Inkubator Halal Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Pagoh yang ditubuhkan pada tahun 2020.

Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) JAKIM telah disampaikan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Johor. ICA telah menerima dua SPHM bagi skim Hak Mengilang Produk Makanan dan skim Produk Makanan iaitu produk buah-buahan sejuk beku (freeze dried fruits) keluaran ICA.

Selain daripada dua SPHM yang diperolehi, ICA juga turut berjaya membantu dua usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) luar bandar mendapatkan SPHM bagi skim Produk Makanan yang dihasilkan di Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh.

Tarikh kelulusan bagi kesemua SPHM ini adalah bermula pada 1 Januari 2022.

Dua usahawan IKS tersebut adalah Jamaliah Juri Enterprise yang menghasilkan produk kerepek jejari dan Syarikat Haslin Binti Md Basar bagi produk karipap sejuk beku.

Seterusnya, dalam masa yang sama usahawan ini dibimbing untuk mendapatkan pensijilan halal di premis mereka bagi memastikan kelangsungan perkembangan perniagaan mereka di premis sendiri.

Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh merupakan satu-satunya inkubator seumpamanya di Malaysia yang menawarkan latihan dan bimbingan kepada usahawan IKS dalam mengeluarkan produk makanan berstatus halal.

Fasiliti ini ditubuhkan dengan sokongan geran daripada KPT yang bertajuk “Program Potensi Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat Luar Bandar Dengan
Mewujudkan Inkubator Bengkel Pengeluaran Yang Menghasilkan Produk Makanan Berstatus Halal” yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ahmad bin Che Yaacob.

Kerjasama bersama usahawan IKS ini telah dijalinkan sejak tahun 2019 lagi.

Dua orang usahawan IKS telah berjaya mendapatkan sijil halal dengan menggunakan fasiliti di bawah seliaan Eksekutif halal ICA yang terlatih di Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh.

Dengan ini, UTM Pagoh berharap dengan bantuan yang diberikan, usahawan IKS dapat meluaskan lagi pasaran dengan produk yang mempunyai kelulusan halal.

Explore More