Disember 22, 2024

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 27 Mei – Tatkala ramai rakan seperjuangan mereka mengambil jalan untuk melaksanakan penyelidikan projek sarjana muda (PSM) dalam bentuk simulasi atau model matematik di rumah memandangkan keadaan tidak menentu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tahun 2021, mereka bertiga mengambil sedikit risiko dengan memutuskan untuk melaksanakan PSM secara fizikal di dalam kampus.

Namun, usaha tersebut ternyata membuahkan hasil dengan ketiga-tiga mereka berjaya mendapat gred yang cemerlang dalam PSM seterusnya menamatkan pengajian sarjana muda mereka dengan cemerlang. Nurul Asyiqin Rihzam, Nurul Faezah Hamdan dan Nurul Ain Syafika Mohammad Khorri masing-masing menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) pada sesi ke-11 Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-65 (MK65) di Dewan Sultan Iskandar, yang disempurnakan oleh Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM.

“Antara pengorbanan terbesar yang terpaksa dihadapi adalah tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga, sekaligus menjadi antara detik yang tidak dapat dilupakan”, menurut Nurul Faezah.

Perbandingan jenis tinjak haiwan terhadap keberkesanan tumbuhan dan tumbesaran tanaman menjadi fokus utama kajian PSM Nurul Faezah.

“Di samping itu, walaupun PSM kami banyak dihabiskan di lapangan dengan membuat penyelidikan dan pemerhatian di kawasan tanaman agrotani yang terletak di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), kami masih juga perlu memasuki makmal untuk melakukan analisis bakteria ke atas bahan ujikaji. Cabarannya pula, pada waktu tersebut, masa penggunaan makmal adalah terhad dan sekiranya ada kes positif Covid-19 yang dikesan pada staf atau pelajar di makmal, makmal akan ditutup selama beberapa hari. Jadi, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kelancaran perjalanan PSM kami”, tambah Nurul Ain Syafika.

Nurul Ain Syafika menjalankan penyelidikan mengenai perbandingan empat jenis baja cecair organik terhadap tumbesaran dan hasil pokok cili centil.

“Dengan situasi PKP pada waktu tersebut, ditambah pula dengan keadaan kami yang berjauhan daripada keluarga, menjadikan kami bertiga lebih rapat dengan penyelia PSM kami, Dr. Norahim Ibrahim yang telah kami anggap seperti ayah sendiri. Dr. Norahim tanpa mengira waktu akan cuba membantu kami. Oleh sebab itu, setiap bantuan yang diberikan beliau akan kami balas dengan memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap kerja-kerja penyelidikan bagi memastikan PSM kami siap tepat pada masanya”, jelas Nurul Asyiqin.

Nurul Asyiqin pula menjalankan penyelidikan perbandingan tiga jenis campuran kawalan serangga organik terhadap tumbesaran terung.

Sementara itu, menurut Dr. Norahim Ibrahim, yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Biosains Fakulti Sains UTM, hasil penyelidikan PSM ketiga-tiga pelajar di bawah penyeliaan beliau menjadi asas kepada projek makmal hidup di KTHO, iaitu KTHO Waste to Wealth Hub.

Penyelidikan PSM ketiga-tiga pelajar seliaan Dr. Norahim menjadi pencetus kepada usaha untuk merealisasikan konsep makmal hidup dalam kampus.

“Apa yang dicetuskan oleh mereka bertiga akan menjadi kesinambungan dalam usaha untuk merealisasikan konsep makmal hidup di dalam kampus, dengan KTHO dijadikan sebagai antara kolej kediaman yang menerajuinya, sekaligus memenuhi aspek kelestarian, yang juga merupakan salah satu daripada empat nilai teras UTM”, jelas Dr. Norahim di akhir temu bual.

Explore More