April 24, 2024

Search
Close this search box.

Terpilih sebagai pegawai teknikal di bawah Federasi Rowing Dunia (FISA) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 merupakan suatu pencapaian yang amat membanggakan buat saudara Harith bin Md Nasir, 32, graduan Sarjana Falsafah, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Harith, beliau berasa terkejut apabila diberi kepercayaan oleh FISA untuk berkhidmat di kejohanan besar itu dan pada masa yang sama amat gembira serta teruja untuk berkhidmat sambil menimba pengalaman baharu bersama ribuan staf pelbagai negara.

“Walaupun bukan pergi sebagai seorang atlet, saya berasa amat berbangga dengan peluang dan pengiktirafan yang diberikan kepada saya untuk terlibat secara langsung dalam menjayakan sebuah kejohanan peringkat antarabangsa berprestij tinggi seperti ini pada usia yang boleh dianggap masih muda.

“Saya bersyukur kerana semua ini tercapai hasil usaha keras dan minat yang mendalam saya terhadap sukan rowing sewaktu pengajian saya di UTM.

Harith bergambar bersama rakan pegawai teknikal dari negara lain semasa kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020

“Tidak lupa juga terima kasih kepada pihak UTM atas segala peluang dan bantuan serta sokongan yang telah diberikan sepanjang saya terlibat dalam sukan ini, kata Harith lagi.

Harith mula menceburi sukan rowing pada 2009 ketika berada dalam tahun kedua pengajian Diplomanya di UTM dan berjaya menempatkan diri untuk mewakili pasukan rowing universiti ke peringkat kebangsaan dan Asia pada 2011.

Namun hasratnya untuk terus menyumbang bakti sebagai atlet rowing UTM terpaksa diketepikan akibat kecederaan pergelangan tangan yang dialaminya pada 2013.

“Walaupun sedikit kecewa, namun saya bersyukur memandangkan saya telah berjaya memiliki lesen sebagai pengadil sukan rowing pada 2014 juga dengan bantuan pihak UTM yang sentiasa membantu menyediakan ruang dan peluang untuk saya dan rakan-rakan.

Saya sering terlibat sebagai pengadil pada kejohanan-kejohanan di peringkat kebangsaan dan juga Asia dan akan terus bergiat aktif dan menyumbang sebanyak mungkin dalam sukan ini, katanya lagi.

Berkongsi pengalaman dan pandangan, Harith menekankan betapa pentingnya pengurusan masa yang bijak sekiranya seseorang mahasiswa ingin terlibat secara aktif dalam sukan semasa pengajian.

Menjadi mahasiswa dan atlet sukan pada masa yang sama memerlukan pengorbanan yang lebih dalam pelbagai aspek fizikal dan mental berbanding sebagai mahasiwa yang lain.

Selain pembahagian masa yang baik, fokus yang tinggi dalam sukan dan pembahagian masa yang efisien dalam mengulangkaji pembelajaran amat diperlukan.

“Saya amat berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan tidak lupa juga UTM terutamanya kepada ayah, Md Nasir bin Tampol dan ibu, Fazliyah binti Hamzah yang sentiasa memberi sokongan dan pembakar semangat kepada saya untuk terus berusaha dalam sukan dan pelajaran, katanya lagi.

Harith bin Md Nasir (tengah) bersama ibu dan bapanya pada Majlis konvokesyen ke-65 UTM

Explore More