November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Mei.– Sepasang graduan yang bergelar sebagai suami dan isteri, iaitu En Ahmad Syafiqdeen Bin Japri, 33, bersama isterinya, Pn Nuraufa Binti Mohd Zaini, 30, telah memaparkan senyuman yang manis atas penat-lelah yang tidak terkira dalam usaha dan semangat demi menggenggam Ijazah Sarjana Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran).

Pasangan yang berkhidmat sebagai guru sekolah rendah ini telah menyahut cabaran yang tidak semua orang sanggup hadapi adalah dengan melanjutkan pelajaran dari Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) di Bangi ke Ijazah Sarjana Pengajian Sepenuh Masa di bawah Fakulti Pendidikan, UTM selepas masing-masing berkhidmat selama beberapa tahun sebagai pendidik di Mersing.

Kemesraan dan saling menyokong antara satu sama lain dapat dinilai apabila masing-masing menunjukkan komitmen yang sangat membanggakan ketika menyelesaikan penulisan tesis dalam keadaan halangan yang sungguh mencabar dan tidak terperi letih dan lesunya.

Pasangan yang mula berkenalan sewaktu di IPG dan mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 telah menggambarkan cabaran yang mereka perlu tempuhi selama dua tahun setengah lalu iaitu dengan berulang-alik dari Mersing ke UTM, Skudai demi menghadiri kelas selepas tamatnya waktu mengajar di sekolah.

Ibu bapa kepada anak berusia 3 tahun ini mengambil inisiatif untuk bergegas dari Mersing pada jam 1 petang dan tiba di UTM sebelum jam 4 petang, tidak serik dalam menuntut ilmu pengetahuan walaupun mereka perlu menghadapnya sebaik mungkin, sehingga satu tahap mereka perlu menghadiri kelas sebanyak 3 kali seminggu.  

Tidak dinafikan sama sekali, peristiwa yang bakal mereka kenangi sampai bila-bila adalah sewaktu mereka berada di semester tiga, apabila rezeki anak yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka, iaitu Pn Nuraufa mula mengandung dalam keadaan beliau bersama suami perlu berulang-alik dari Mersing ke UTM dengan tiadanya lebuhraya dan mereka perlu melalui jalan yang gelap serta jalan yang berpusing-pusing kerana laluan yang ada hanyalah laluan di kawasan perkampungan.

Dugaan sepanjang perjalanan ke UTM sahaja tidak mencukupi, malah cabaran lain yang perlu ditempuhi adalah apabila isteri kepada En Syafiqdeen juga perlu hadirkan diri ke kelas sehingga tingkat lima dan apabila telah selamat melahirkan zuriat, beliau juga perlu menghadiri peperiksaan akhir sewaktu masih berpantang lagi.

Benarlah orang kata, anak merupakan pemberi ujian, namun dalam masa yang sama, anak juga merupakan pembawa rezeki. Walaupun pasangan suami isteri ini tidak dapat bersama-sama menyertai satu pertandingan inovasi, akan tetapi, En Syafiqdeen berjaya memperoleh anugerah gangsa dalam menjayakan inovasi tersebut dengan sokongan isterinya dari jauh.

Pasangan sama cantik sama padan ini mengungkapkan satu kata-kata yang sangat bermakna, ‘tiada kejayaan semanis madu, jika tiada pengorbanan sepahit hempedu’. Ini dikatakan demikian kerana mereka perlu menyiapkan tesis walaupun dalam keadaan mereka perlu belajar di UTM, tetapi perlu menjalankan kajian di Mersing. Kesukaran bertambah dari hari ke hari apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyebabkan mereka sukar berhubung dengan penyelia secara bersemuka untuk mendapatkan maklum balas mengenai penulisan mereka. Pada ketika itu, mereka memaksimakan sehabis mungkin berhubung bersama penyelia melalui email atau aplikasi WhatsApp sahaja.

Namun, di sebalik kekurangan PKP, wujud keistimewaannya apabila mereka dapat fokus dalam menyiapkan penulisan kerana mereka dapat melaksanakan tugasan tersebut di rumah sahaja justeru lebih mudah buat mereka untuk menguruskan masa sebaiknya.

Walaupun mereka ada merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Doktor Falsafah, namun En Syafiqdeen berkata berkemungkinan mereka tidak akan menyambung secara serentak seperti mana di peringkat sarjana atas keperluan yang menuntut komitmen yang lebih tinggi.

Pembahagian masa yang teratur memainkan peranan yang penting dalam menyiapkan tugasan. Mereka yang bergelar guru kadang-kala perlu mencuri masa di sekolah untuk menyiapkan tugasan atau perlu melaksanakannya pada waktu malam selepas menguruskan keluarga. Pada pendapat mereka, masalah utama dalam penulisan tesis adalah apabila mereka sukar untuk berhubung dengan penyelia secara bersemuka disebabkan pandemik yang melanda. Sokongan pihak luar terutamanya daripada ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka adalah tunggak utama di kala pasangan ini memerlukan bantuan dan mereka merupakan penyuntik semangat untuk lebih terus maju ke hadapan.

Mereka yang berazam untuk melanjutkan pelajaran ini berpesan, ‘belajar adalah pilihan kita sendiri, tetapkanlah bahawa kerjaya masih terletak di nombor satu dan pelajaran di nombor dua, kerana menyambung ke ijazah sarjana adalah pilihan sendiri, jika kerjaya agak terbeban, kita tetap perlu menerimanya’, itulah cabaran dan rintangan yang perlu ditempuhi.

Mereka juga mengakhiri dengan ucapan terima kasih kepada semua pensyarah Fakulti Pendidikan, terutama sekali kepada Prof Johari Sihes dan Dr Sanitah yang banyak membantu dalam menyiapkan tugasan mereka.

Senyuman manis terpapar oleh pasangan suami isteri setelah perjuangan mereka selama ini membuahkan hasil yang membanggakan

Explore More