Julai 27, 2024

Search
Close this search box.

Berbekal Hanya RM2 Sehari untuk Belanja Makan, Anak Peniaga Cendol Hadiahkan Ijazah kepada Bapa

JOHOR BAHRU, 23 Mei – “Ketika itu, setiap hari bajet makan saya hanya RM2 selama dua bulan”, begitulah antara pengorbanan yang terpaksa dihadapi oleh Nurul Izzati Darul Zaman, 24, ketika berada di tahun kedua pengajiannya apabila bapanya tidak dapat meneruskan perniagaan akibat dari beberapa kekangan.

“Waktu itu ayah saya terpaksa berhenti berniaga kerana perniagaan tidak berapa laku dan kedai warung kami di medan selera terpaksa diberhentikan sebab tak dapat nak bayar sewa. Pada masa yang sama, satu persatu kenderaan yang kami gunakan untuk bergerak ke mana- mana jugak rosak. Jadi, keperluan duit memang sangat menuntut untuk menampung kos kehidupan harian.”

Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, beliau telah mengambil inisiatif untuk berkongsi duit pinjaman PTPTN yang diterimanya bersama keluarga untuk menampung keperluan membeli makanan.

“Jadi ketika itu, saya di kolej terpaksa mengikat perut dengan membeli sebungkus nasi dan di makan dengan kicap dan nuget sahaja. Perbelanjaan makanan saya ketika itu hanyalah RM2 sehari.

Seringgit untuk beli nasi putih, seringgit untuk membeli nugget ataupun telur. Hal ini berlanjutan selama dua bulan sehinggalah saya berjaya menerima biasiswa tajaan JPA.”

Anak sulung kepada pasangan Darul Zaman Abdul Hamid yang berkerja sebagai peniaga cendol motorsikal roda tiga dan Rahumathu Begum, surirumah ini memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan di Majlis Konvokesyen UTM ke-65 pada hari ini.

Melabelkan kehidupan keluarga sebagai keluarga yang hidup bersederhana, Nurul Izzati tidak pernah kesal dan sentiasa menyokong keputusan ayahnya untuk meneruskan perniagaan legasi keluarga mereka malahan beliau sentiasa terinspirasi dengan semangat tekad bapanya dalam memastikan setiap anak-anaknya mendapat pendidikan yang sempurna.

Tidak berasa ralat dilahirkan di dalam keluarga yang kadang-kala serba kekurangan, Nurul Izzati turut menzahirkan rasa bertuahnya kerana tidak pernah dipandang rendah oleh rakan-rakan dan para pensyarah, malah sentiasa mendapat sokongan dan dorongan semangat daripada mereka.

Beliau yang berpegang teguh kepada prinsip ‘grow through life’ sepanjang menuntut di UTM berkata, “Saya anggap situasi keluarga saya dan dugaan-dugaan yang saya hadapi sebelum ini sebagai satu aturan yang ditentukan oleh Tuhan untuk saya membesar dan menjalani hidup dengan lebih kuat dan matang. Tiada sebab untuk saya patah semangat dan putus harapan bagi meneruskan pembelajaran hanya kerana dugaan sekecil itu”

Tekad menunaikan impian keluarga untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah, Nurul Izzati kini sudah pun berada di semester ke-2 pengajian Sarjana Penyelidikan di UTM dalam jurusan yang sama dengan bantuan BIasiswa Zamalah yang merupakan salah satu program biasiswa di bawah kelolaan UTM dan akan tetap meneruskan matlamat murninya untuk mengenggam ijazah Doktor Falsafah pada masa hadapan.

“Kejayaan ini, saya dedikasikan kepada keluarga tercinta dan juga sebagai bukti kepada individu yang pernah memandang remeh terhadap potensi diri dan keluarga saya bahawa kami juga mampu untuk berjaya seperti orang lain” tambah beliau.

Explore More