Anak Petugas Media Kongsi Rahsia Kejayaan

JOHOR BAHRU, 26 Mei– “Walau sesibuk mana pun kita mencari rezeki, jangan pernah abaikan tanggungjawab kita terhadap pelajaran anak-anak”.

Demikian kata-kata yang meniti di bibir seorang ayah yang merupakan petugas media yang hadir menyaksikan kejayaan anaknya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-65 pada pagi tadi.

Tiada ungkapan yang dapat diucapkan melainkan ucapan tahniah kepada anak-anaknya yang berjaya membanggakan mereka.

Syahira menunjukkan skrol graduasinya bersama ayah dan mamanya yang tercinta, Shahrul Fikri dan Nor Baizura Basri usai sidang kesepuluh Majlis Konvokesyen UTM Ke-65 di Dewan Sultan Iskandar pada pagi tadi.

Syahira Shahrul Fikri, 24, merupakan salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah yang berjaya menamatkan liku-liku perjalanan pengajiannya di UTM hasil sokongan dan dorongan yang padu oleh ahli keluarga terutamanya ayah dan mama yang tercinta.

Menariknya cabaran belajar beliau mungkin tidak sama dengan pelajar lain kerana mama dan ayahnya merupakan petugas media yang sangat aktif dan sentiasa berdepan dengan pelbagai kesibukan dengan tugasan masing-masing.

Ayahnya bertugas sebagai Jurukamera di Awesome TV, manakala mamanya merupakan Ketua Biro BERNAMA Johor.

Menurut ayahnya, Shahrul Fikri Hassan, 52, peranan mendidik anak-anak bukan hanya disandarkan pada bahu pensyarah semata-mata, bahkan mereka perlu memainkan peranan penting untuk bersama anak-anak walaupun mereka berjauhan daripada pangkuan keluarga.

Tambah mamanya, Nor Baizura Basri, 41, masalah komunikasi atau jarak yang jauh tidak lagi menjadi alasan untuk tidak berhubung atau ‘keep in touch’ bersama anak-anak mereka memandangkan segalanya hanyalah di hujung jari sahaja.

Ini berikutan kecanggihan pelbagai teknologi pintar dan moden seperti Video Call, Google Meet, Skype dan lain-lain lagi yang tersedia untuk memudahkan perhubungan antara manusia pada hari ini.

Tambah Syahira lagi, tugasan ayah dan mamanya sebagai petugas media telah turut membantu beliau dalam pengajiannya.

“Tajuk tesis saya iaitu Factors Affecting Housing Loan Application Decisions in Johor Bahru adalah diinspirasikan dari laporan dan bahan-bahan info yang dikongsikan daripada mereka.

Saya mendapat idea untuk merangka tajuk tesis saya daripada mama dan ayah yang memberi cadangan berkenaan bidang pengajian yang saya ceburi”, ujar Syahira yang menzahirkan perasaan syukur dan gembira dengan bimbingan dan dorongan yang diberikan mereka terhadap pengajian beliau.

Kejayaan Syahira menggenggam segulung ijazah pada hari yang istimewa buat dirinya pada hari ini pasti tidak akan tercapai tanpa pengorbanan dan kecekalan beliau menamatkan pengajiannya dengan pelbagai rintangan dan halangan yang telah ditempuh di samping dengan keberadaan dua insan yang tercinta disisinya.

“Tempoh masa internship saya selama 6 bulan terpaksa dipendekkan kepada 3 bulan, dan ia digantikan dengan tugasan projek yang diberikan oleh pensyarah”, ulas Syahira yang turut berkongsi akan cabaran yang dilaluinya sewaktu negara dikenakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang serba sedikit mengganggu sesi pengajiannya yang lepas.

Pandemik COVID-19 yang melanda negara seawal Mac 2020 telah memberi kesan kepada beliau yang ketika itu baru sahaja memulakan latihan amali di industri atau internship di Syarikat Iskandar Investment Berhad.

Kesannya, beliau tidak berpeluang untuk turun melawat ke tapak-tapak projek mahupun melakukan kerja secara ‘hands-on’ dan juga berhadapan dengan beberapa kekangan termasuklah masalah pengumpulan data akibat sumber data yang terhad ketika itu.

Namun, bimbingan daripada para pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan secara tidak langsung membantu anak kedua daripada empat beradik itu untuk cekal meneruskan latihan amalinya walaupun terpaksa bekerja dari rumah.

Perasaan bangga dan gembira oleh ayah dan mamanya atas kejayaan Syahira yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang tidak terungkap dengan kata-kata.

“Manfaatkanlah segala peluang dan kemudahan yang tersedia di universiti dan jagalah hubungan bersama mereka walau di mana pun berada”, tambah Syahira yang berharap agar para pelajar atau bakal graduan di luar sana untuk memberikan sepenuh komitmen terhadap pelajaran sambil tetap menjaga hubungan bersama orang-orang tersayang di sekeliling.

Anak kelahiran negeri Johor itu mempunyai perancangan untuk kekal fokus kepada kariernya dalam bidang pengurusan hartanah di Syarikat Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd. sebelum meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.

Buah jambu di bawah tangga

Buang mangga di hujung desa

Kasih ibu membawa ke syurga

Kasih bapa sepanjang masa

Tahniah diucapkan kepada Syahira dan terima kasih diucapkan kepada ayah dan mamanya atas kerja keras dalam membesarkan dan mendidik beliau sehingga berjaya beroleh Ijazah di samping berkhidmat sebagai petugas media yang sememangnya amat mencabar.

Selamat Hari Wartawan Sedunia diucapkan kepada semua petugas media di seluruh dunia.