Disember 22, 2024

Program Celik IT, Sains & Teknologi bersama warga SK Betau telah dijalankan dengan jayanya pada 24 Februari lalu menerusi sub-program yang terakhir iaitu Asas Kemahiran Google Data Studio: Easy, Tricky, Interactive.

Dua buah sub-program terdahulu ialah Asas Baikpulih Komputer dan Asas Tanaman Hidroponik.

Program yang telah dirancang hampir setahun ini telah berlangsung dengan lancar hasil daripada kepakaran fasilitator serta komitmen peserta yang tinggi.

Namun begitu, program ini terpaksa dijalankan secara dalam talian disebabkan kekangan pandemik Covid-19 yang telah menghadkan segala aktiviti berbentuk fizikal.

Program perpindahan ilmu yang berteraskan kepada asas pembangunan pelaporan Google Data Studio ini diketuai oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim, dan dibantu oleh tiga orang fasilitator dari kalangan staf Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP), dari Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) dan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM Kuala Lumpur iaitu saudara Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob, Mohd Ferdaus Bin Md Nor dan Ts. Mohd Hazri Ishak.

Program yang berlangsung pada 24 Februari 2022, bermula jam 2.00 hingga jam 5.00 petang ini, telah dihadiri oleh 23 orang peserta dari kalangan guru dan staf di SK Betau, lelaki dan wanita yang berumur antara 26 tahun hingga 52 tahun.

Program hands-on ini adalah bermatlamatkan untuk memberikan pendedahan serta latihan terus kepada warga SK Betau berkenaan membangun pelaporan yang lebih interaktif, konsisten, bersifat real-time, serta mudah dicapai oleh semua pihak.

Teknologi yang disampaikan ini menggunakan platform percuma dari Google yang mana ianya dianggap sebagai nilai tambah, kerana peserta tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dalam mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam rutin kerja harian mereka.

Para peserta diajar tentang cara dan teknik dalam pembangunan pelaporan GDS ini.

Hasilnya, sebuah pelaporan ringkas tentang prestasi murid dapat dibangunkan dalam tempoh hanya sekitar dua jam sahaja.

Program ini juga disokong oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), serta mendapat tajaan dana dari Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan dibantu oleh sekumpulan staf dari Unit Media Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTMKL dalam menyedia dan mengoperasikan platform kursus.

Kesemua peserta juga turut menerima sijil penyertaan dari pihak UTM.

Hasil dari kajian soal selidik yang dijalankan ke atas para peserta menunjukkan bahawa program ini telah membangkit kesedaran dalam kalangan peserta menggunakan teknik pelaporan GDS dalam sebarang pelaporan kerja mereka.

Selain itu, peserta juga telah menerima ilmu dan kemahiran yang disampaikan dengan sangat baik.

Ini kerana program ini bukan sahaja mengaplikasikan proses upskilling dan reskilling, malah ianya juga telah mempertingkat mutu dan kecekapan warga pendidik di SK Betau dalam menghasilkan satu hasil kerja yang memuaskan dan berkualiti.

Sehubungan itu, pihak Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTMKL akan terus komited dalam usaha  membantu memperkasakan masyarakat orang asli, bukan sahaja di SK Betau, malah semua masyarakat yang memerlukan program-program kemahiran.

Gambar 1: Ketua Projek, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim sedang membuka majlis dengan kata-kata aluan kepada semua peserta.
Gambar 2: Sesi penutup oleh barisan tenaga pengajar program ini.
Gambar 3: Wajah-wajah ceria para peserta bersama tenaga pengajar Asas Kemahiran Google Data Studio: Easy, Tricky, Interactive di akhir program.

Explore More