UTM – NFCC Kerjasama Cegah Jenayah Kewangan

JOHOR BAHRU, 24 Apr– Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre – NFCC) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) mengenai komitmen kerjasama untuk mencegah jenayah kewangan dengan mengembleng pengetahuan, kepakaran dan perkongsian pengalaman kedua pihak.

Majlis menandatangani MOC telah berlangsung di kampus UTM Johor Bahru. Dalam majlis tersebut, UTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail manakala NFCC diwakili oleh Ketua Pengarah, Dato’ Seri Haji Mustafar bin Haji Ali, disaksikan oleh delegasi dari UTM dan NFCC.

Perbincangan untuk mengadakan Kerjasama antara NFCC dan UTM ini telah bermula semenjak tahun 2021 lagi dengan persetujuan kedua pihak untuk membentuk kerjasama strategik dengan memanfaatkan pengetahuan, pengalaman, kemampuan dan perkhidmatan berkaitan dengan penyelidikan jenayah kewangan.

Dato’ Seri Haji Mustafar bin Haji Ali dalam ucapan beliau berkata kerjasama ini merupakan pendekatan whole of nation approach untuk membanteras jenayah kewangan.

Hasrat kedua-dua pihak dalam inisiatif penyelidikan adalah supaya kerjasama sebegini  dapat dijadikan sebagai pemangkin ke arah penglibatan yang lebih akrab antara agensi kerajaan, universiti atau institusi penyelidikan.

“Pendekatan ini amat perlu bagi negara melaksanakan agenda besar dalam menghadapi ancaman-ancaman kegiatan jenayah kewangan yang semakin berleluasa.

Kerjasama bersepadu dengan universiti dan institusi penyelidikan amat diperlukan bagi mendokong dan menggembleng agenda memerangi jenayah kewangan khususnya dalam penganalisaan data, sistem dan sumber manusia secara optimum,” kata beliau.

Beliau berkata pendahulu (precursor) kepada usaha penguatkuasaan jenayah kewangan yang berkesan harus bermula dengan pembangunan kapasiti pegawai penganalisa, yang dilengkapi dengan sistem teknologi maklumat yang terkini serta data yang dikumpul secara sistematik dan automated.

Beliau juga berkata kerjasama ini dapat menyumbang kepada penerokaan domain baharu oleh para penyelidik dan mahasiswa supaya dapat menghasilkan graduan yang diperlukan oleh majikan sektor awam dan swasta. 

Di samping itu, produk dan hasil penyelidikan yang dijana menerusi kerjasama ini juga boleh  menyokong kerajaan dalam aspek pembangunan dasar pencegahan jenayah kewangan dan penguatkuasaan undang-undang yang berdasarkan data dan penyelidikan.


Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail mengalu-alukan sebarang peluang kerjasama yang akan memberi manfaat kepada UTM, rakan kerjasama, sama ada agensi kerajaan atau industri, umat manusia (to the mankind) dan negara Malaysia.

“Diharap persefahaman antara kedua-dua pihak ini dapat meningkatkan lagi pertukaran dan perkongsian ilmu dan kepakaran antara UTM dan NFCC dalam usaha memerangi jenayah kewangan yang semakin mencabar di negara kita ini.

Penggemblengan keupayaan penganalisaan, kepintaran buatan serta tacit knowledge diharap dapat memantapkan lagi operasi pencegahan jenayah kewangan,” kata beliau. Sementara itu, Ketua Pengarah NFCC, Dato’ Seri Mustafar Ali dan Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM dalam ucapan masing-masing menyatakan kesefahaman untuk meletakkan penyelidikan dan pembangunan keupayaan penganalisaan jenayah kewangan sebagai agenda utama kerjasama kedua-dua pihak.