UTM – ATM Meterai MoU untuk Manfaat Akademik, Penyelidikan dan Pembangunan

KUALA LUMPUR, 23 Mac — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kekal komited menjadi institusi pendidikan dan penyelidikan ulung negara melalui jalinan kerjasama strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Terbaharu, UTM melalui Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggalakkan kerjasama akademik antara kedua-dua pihak.

Majlis menandatangani MoU berkenaan yang diadakan pada hari ini di Wisma Pertahanan, Jalan Padang, Tembak Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Dato’ Shamsuddin Hj Ludin di saksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Bin Buang TUDM.

Memorandum persefahaman ini merupakan kerjasama strategik yang diusahakan oleh ATM melalui Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan serta UTM dalam aspek akademik, penyelidikan dan pembangunan untuk manfaat secara bersama. Ia juga sebagai pembuka laluan serta pengukuhan aktiviti kerjasama semasa dan masa hadapan antara ATM – UTM.

Melalui kerjasama strategik ini, ia membuka peluang kepada sekumpulan kakitangan dan pegawai ATM untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan, UTM Johor Baharu, melalui salah satu program akademik yang dikenali sebagai Program Sarjana Komputeran Inovatif (MIComp).

Program akademik ini dilaksanakan secara program khas pascasiswazah dan sepenuh masa. Seramai 13 orang staf ATM terpilih menjadi perintis kepada program khas ini dan bakal bergraduan pada tahun 2023.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata “Termeterainya MoU ini diharap akan menambah giat kerjasama antara UTM dan ATM, kerana dengan adanya MoU ini ianya mewujudkan asas kerjasama dan merasmikan kerjasama antara UTM dan ATM. UTM sentiasa mengalu-alukan sebarang peluang kerjasama yang akan memberi manfaat kepada UTM, rakan kerjasama sama ada agensi kerajaan atau industri, umat manusia (to the mankind) dan negara Malaysia.

Harapan saya agar persefahaman antara kedua-dua pihak ini dapat meningkatkan lagi pertukaran dan perkongsian ilmu dan kepakaran antara UTM dan ATM dalam usaha mencapai kecemerlangan di samping mencapai visi dan misi organisasi”.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Bin Buang TUDM pula berkata kerjasama ini merupakan suatu langkah yang tepat pada masanya dalam memastikan ruang siber dan elektromagnetik ATM khususnya dan negara amnya dilindungi dengan seketat-ketatnya dari sebarang ancaman.

Beliau juga berharap kerjasama yang dijalinkan dapat menjadi pemangkin untuk kedua-dua pihak menerokai bidang-bidang lain yang wajar dimanfaatkan secara bersama.

‘’Kolaborasi ATM-UTM akan menjadi lebih mantap sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar dalam memartabatkan tahap keupayaan negara. Justeru, harapan saya agar setiap perkhidmatan dapat menempatkan warga yang bakal dilengkapkan dengan kepakaran hasil kerjasama ATM-UTM ini ke Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan demi terus memperkasa domain siber Angkatan Tentera Malaysia’’, ujar beliau.

Hubungan kerjasama yang diwujudkan antara UTM dan ATM serta turut mendapat sokongan daripada rakan strategik dari industri, System Consultancy Services (SCS) Sendirian Berhad, diharapkan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua pihak di peringkat nasional mahupun global.