Timbalan Menteri Kewangan I Imbau Kecemerlangan Semasa Menuntut di UTM

YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah Kongsi Kenangan Manis Sebagai Alumni UTM dalam Majlis Dialog bersama Wakil Pelajar UTM

Oleh : Nadratul Huda Binti Ahmad

JOHOR BAHRU, 12 Apr. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan istimewa daripada Timbalan Menteri Kewangan 1, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang berkesempatan meluangkan masa untuk menghadiri sesi Majlis Dialog bersama Wakil Pelajar UTM.

Beliau merupakan Alumni UTM iaitu dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) 2004 dan Sarjana Kejuruteraan Elektrik – Elektronik dan Telekomunikasi 2013.

Bagai sireh pulang ke gagang, beliau hadir bagi Majlis Dialog di Kolej Tun Razak (KTR), kolej yang didiaminya suatu ketika dahulu dan lebih manis, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) KTR dan juga Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika itu.

Dalam majlis dialog berkenaan, YB Dato’ telah menitipkan pesanan tentang kepentingan mengurus diri sendiri dan sikap kebersamaan atau bekerja dalam kumpulan. Ini bagi memastikan organisasi yang dipimpin dapat mencapai objektif dan pada masa yang sama dapat menjamin kecemerlangan.

YB Dato’ juga berpesan agar para pemimpin pelajar juga dapat mengimbangi antara aktiviti luar kuliah dan akademik.

Atas kecemerlangan luar biasa beliau, YB Dato’ Shahar merupakan satu-satunya penerima Anugerah Khas Naib Canselor sempena Majlis Konvokesyen UTM tahun 2004.

Selain itu terdapat juga sesi soal jawab bersama pelajar.

Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Thivagar a/l Pushparaju bertanya tentang cara memupuk kesedaran tentang kebaikan penggunaan kad kredit dalam kalangan orang muda bagi meningkatkan credit score mereka dan YB Dato menyatakan bahawa negara menetapkan seseorang boleh mendapat maximum 2 kad kredit sahaja.

Menurut beliau juga, pemilikan kad kredit adalah bagus tetapi perlu menjadi sorang pembayar yang bertanggungjawab.

Seterusnya, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Danial Iskandar Jafridin bertanyakan soalan berkenaan PTPTN dan penggunaan imbuhan e-pemula untuk pembayaran di platform beli-belah dalam talian seperti Shoppee dan Lazada dan YB Dato telah memberikan komen yang sewajarnya.