April 26, 2024

Search
Close this search box.

PKA UTMKL Mulakan Sesi Jelajah #PKAUTMKLcakna Ke Seksyen Keselamatan UTMKL

Oleh Syuhaida Ismail

KUALA LUMPUR, 20 Apr. — Persatuan Kebajikan Kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (PKA UTMKL), yang diketuai oleh Presidennya, Prof. Madya Ts Ir Dr Syuhaida Ismail serta turut dihadiri oleh barisan ahli jawatankuasanya telah memulakan sesi jelajah #PKAUTMKLcakna dengan mengadakan satu lawatan hormat ke Seksyen Keselamatan di Blok J, UTMKL.

Sesi jelajah #PKAUTMKLcakna ini adalah bertujuan untuk bersuaikenal dengan kumpulan pentadbiran PTJ-PTJ di UTMKL selain memperkenalkan peranan dan fungsi PKA UTMKL dalam memperjuangkan kesejahteraan, kepentingan dan hak staf akademik kepada warga UTM.

Lawatan sesi jelajah #PKAAUTMKLcakna ini dimulakan dengan pembentangan slaid oleh Tuan Khairul Zaman Mohd Radzi, Ketua Seksyen Keselamatan UTMKL berkenaan pelan induk keselamatan UTM dan barisan anggota Seksyen Keselamatan UTM.

Malah, beliau turut menjelaskan inisiatif-inisiatif lain yang sedang dan akan dilaksanakan berpandukan Pelan Transformasi Bahagian Keselamatan UTM sejajar dengan pencapaian enVision UTM 2025 ke arah konsep ‘Open Campus’.

Inisiatif tersebut termasuk pelekat kenderaan RFID, sistem rondaan keselamatan Guard Expert Pro (GEP), penggunaan dron untuk pemeriksaan parameter bagi tugasan rondaan keselamatan dalam kampus UTMKL pada waktu malam, sistem pengecaman wajah di lokasi terpilih, pembangunan kawalan pintu masuk secara pintar, CCTV, Geo-Fence Security System dan Analytical Data System yang bermatlamat memastikan keselamatan dan kebajikan staf, pelajar dan pelawat UTM terpelihara.

Gambar 1: Tuan Khairul Zaman Mohd Radzi, Ketua Seksyen Keselamatan UTMKL serta anggota Seksyen Keselamatan mengalu-alukan kedatangan ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Akademik UTMKL dengan pembentangan slaid pengenalan kepada Seksyen Keselamatan UTM

PKA UTMKL seterusnya memperkenalkan barisan ahli jawatankuasanya yang baharu dilantik bermula dari 1 April 2022. Selain itu, Bendahari PKA UTMKL, Dr Nurazean Maarif turut telah menjelaskan tentang program yang dijalankan oleh PKA UTMKL seperti program kongsi rezeki bersama asnaf PPR Desa Rejang, Al Kahfi for Muslimat, kempen menambah keahlian PKA UTM, tabung idea aktiviti dan program PKA UTMKL dan pencarian sukarelawan pengucap awam.

Turut diperkenalkan kepada barisan anggota Seksyen Keselamatan ialah inisiatif HelpDesk PKA UTMKL #PKAUTMKLcakna yang menyenaraikan antara lain, isu-isu berkaitan keselamatan di UTMKL. Pada kesempatan ini, pihak PKA UTMKL turut memuji tindakan pantas Seksyen Keselamatan dalam menyelesaikan aduan-aduan ahli PKA UTMKL berkenaan isu keselamatan dalam kampus UTMKL yang telah disampaikan melalui saluran HelpDesk PKA UTMKL ini.

Sebelum menutup tirai lawatan, kedua-dua pihak telah membincangkan potensi kerjasama antara Seksyen Keselamatan dan PKA UTMKL dalam memastikan kebajikan keselamatan seluruh warga UTMKL terus terpelihara.

Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar dan pertukaran dokumen informasi berkenaan kedua-dua entiti penting di UTM ini. PKA UTMKL turut menyatakan hasrat mereka untuk lebih kerap mengadakan lawatan seumpama ini dengan PTJ-PTJ lain di UTMKL bagi memperluaskan lagi keberkesanan peranan dan fungsi persatuan dalam memperjuangkan kebajikan staf akademik UTMKL.

Gambar 2: Presiden PKA UTMKL menerima dokumen informasi berkenaan Seksyen Keselamatan dari Tuan Khairul Zaman Mohd Radzi, Ketua Seksyen Keselamatan UTMKL

Explore More