April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pelancaran Dana Mahabbah KTHO Manifestasi Sikap Peduli dan Cakna Dalam Kalangan Warga UTM

Keadaan ekonomi negara yang tidak menentu berikutan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak memberi kesan daripada aspek perbelanjaan seharian kepada mahasiswa terutama bagi mereka yang datang daripada latar belakang keluarga B40 sepanjang melanjutkan pengajian di universiti.  

Menyedari hakikat tersebut, Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif dengan melancarkan “Dana Mahabbah KTHO”, yang mana objektif utamanya adalah untuk mengumpulkan dana bagi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di KTHO.

Pelancaran dana ini juga dilihat sebagai salah satu usaha JKM KTHO dalam merealisasikan kempen #kitajagakita, sekali gus memberi peluang kepada warga KTHO untuk turut sama menyumbang dalam menjayakan inisiatif-inisiatif kebajikan yang telah dirancang seperti aktiviti sukarelawan, program kemasyarakatan, bantuan musibah dan food bank.

Inisiatif “Dana Mahabbah KTHO” berjaya direalisasikan hasil daripada sumbangan warga KTHO sendiri, sekali gus menjadi bukti bahawa warga UTM berjaya menjiwai salah satu nilai teras UTM, iaitu sinergi, yang mana nilai teras tersebut dilihat daripada aspek menanamkan semangat inklusif, kerjasama, tidak mementingkan diri sendiri, yang dibatasi oleh sifat peduli dan mengambil berat antara satu sama lain.

Inisiatif yang dilancarkan bermula 9 Januari hingga 24 Februari ini telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM 200, dengan kebanyakan penyumbang merupakan warga KTHO sendiri.

Usaha ini telah mendapat sambutan dan maklum balas yang positif daripada warga KTHO, dengan setiap dana yang disumbangkan berjaya diterjemahkan dalam bentuk inisiatif KTHO Food Bank, sekali gus sedikit sebanyak membantu mahasiswa yang kesempitan wang belanja seharian terutama menjelang minggu ulangkaji dan minggu peperiksaan.

Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan JKM KTHO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengurusan KTHO, Majlis Felow Merbauan (MAFAN) dan warga KTHO yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan inisiatif ini. Adalah diharapkan bahawa inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai golongan sasar terutama dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UTM pada masa akan datang.

Disediakan oleh: Ong Mei Zhi ( Ahli Jawatankuasa Unit Publisiti ) dan En.Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Felow Penyunting KTHO)

Explore More