Pelajar KTHO UTM Turun Padang Bersama Warga Rumah Iskandar Jayakan Program Pertanian Bandar

Disediakan oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Penyunting Penerbitan Media KTHO)

ISKANDAR PUTERI, 26 Mac– Inisiatif pertanian bandar sudah mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat demi meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran dan penghasilan sendiri bahan makanan. Bagi memenuhi aspirasi tersebut, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah menjayakan ‘Program Pertanian Bandar: Hobi Baru’ bertempat di Dataran Ismail Ibrahim, Plot A, Rumah Iskandar Malaysia. Program ini telah mendapat sambutan yang hebat terutama daripada warga Rumah Iskandar Malaysia dengan kehadiran 70 keluarga daripada pelbagai latar belakang. Sementara itu, delegasi KTHO UTM diketuai oleh Dr. Norahim Ibrahim selaku pakar rujuk dan penceramah utama, diperkasa dengan kehadiran 25 pelajar dan Majlis Felow Merbauan (MAFAN) selaku pegawai pengiring.

Dr. Norahim memulakan program dengan slot ‘Pengurusan Sisa Pepejal dan Asas Pembuatan Baja Organik daripada Sisa Dapur’.
Program mendapat sambutan yang hebat daripada warga Rumah Iskandar.

Program dimulakan dengan pengisian ‘Pengurusan Sisa Pepejal dan Asas Pembuatan Baja Organik daripada Sisa Dapur’ yang disampaikan oleh Dr. Norahim. Antara tujuan utama slot ini disampaikan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya amalan kitar semula dalam usaha mengekalkan kelestarian alam. Dalam masa yang sama, slot ini turut memberi pencerahan kepada orang ramai akan kegunaan sisa dapur yang boleh dimanfaatkan untuk dijadikan baja organik.

Wajah-wajah keluarga yang hadir memeriahkan program.
Peserta program terdiri daripada pelbagai latar belakang keturunan.

Program diteruskan dengan demonstrasi penyemaian biji benih kacang panjang dan bayam. Kemudian, Dr. Norahim sambil dibantu oleh pelajar KTHO selaku fasilitator telah menunjukkan cara pembuatan baja cecair organik (baja mol). Rata-rata peserta tidak melepaskan peluang melaksanakan sendiri praktikal pembuatan baja mol, menggunakan sisa-sisa sayur dan buah-buahan seperti sayur kangkung dan pisang yang sudah busuk. Bukan itu sahaja, peserta juga berpeluang membuat baja berasaskan tinjak ayam, diperkayakan pula dengan serbuk bokashi yang bertindak sebagai effective microorganism (EM) untuk menjadi sebahagian daripada medium tanaman bagi anak pokok terung.

Pelajar KTHO selaku fasilitator membantu peserta dengan menunjukkan demonstrasi penyemaian biji benih dan pembuatan baja.
Warga Rumah Iskandar turut tidak melepaskan peluang membuat praktikal penyemaian biji benih dan pembuatan baja organik.

Kesinambungan daripada program ini ialah penganjuran pertandingan tanaman sayur bayam dan terung yang akan dibuat sesi penilaian dan penjuriannya pada bulan Mei dan Jun 2022. Hadiah menarik juga ditawarkan kepada para peserta dengan tempat pertama bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM250, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 dan RM50. Sementara itu, 10 hadiah saguhati bagi setiap kategori juga ditawarkan dalam pertandingan ini.

Wajah-wajah generasi akan datang yang akan meneruskan legasi dan inisiatif kelestarian.

Penganjuran program ini membuktikan UTM dan IRDA terus komited dalam usaha untuk mendidik masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengamalkan pengurusan sisa yang sistematik dan memanfaatkan sisa yang boleh diguna semula, demi memastikan kelestarian alam sekitar untuk diwarisi generasi akan datang.

Antara Majlis Felow Merbauan (MAFAN) yang turut hadir menjayakan program.
Fasilitator dan tulang belakang program yang terdiri daripada pelajar KTHO UTM.