April 16, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Penyunting Penerbitan Media KTHO)

KUANTAN, 17 Mac– Penajaan dan penjanaan kewangan kini menjadi sebahagian daripada kriteria untuk sesuatu aktiviti itu dinilai sebagai satu program pembangunan pelajar berimpak tinggi.

Bagi memenuhi objektif strategik Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) iaitu melahirkan bakat holistik dan graduan berkualiti melalui program pembangunan pelajar berimpak tinggi, buat julung kalinya Majlis Felow Merbauan Kolej Tun Hussein Onn (MAFAN KTHO) telah memperkenalkan modul komprehensif Sponsorship and Income Generation Training (SPRINT) dalam usaha untuk memperkasa kemahiran komunikasi dan rundingan korporat dalam kalangan JKM KTHO sesi 2021/2022.

Modul ini dirangka oleh En. Mohd Fadthul Ikmal bin Misnal selaku koordinator utama dengan dibantu Dr. Mohd Farizal bin Ahmad Kamaroddin selaku koordinator bersama.

Pemantauan kemajuan SPRINT dilakukan bagi mengenalpasti status penajaan setiap kumpulan.

Modul ini telah dilaksanakan dari 27 Februari sehingga 17 Mac, merangkumi tiga fasa. Fasa pertama dilaksanakan dari 27 Februari sehingga 6 Mac memberi tumpuan kepada pembentukan pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu MECAR A, MECAR B, MESTED A dan MESTED B.

Setiap pasukan perlu membentuk satu organisasi yang sistematik merangkumi Ketua Eksekutif (CEO), Eksekutif Penyelidikan dan Perancangan Strategik (DRSP) dan Eksekutif Komunikasi, Rangkaian dan Rundingan Korporat (DCCNN). Fasa kedua dilaksanakan dari 7 Mac sehingga 15 Mac pula memberi fokus kepada latihan CENU (Communicate, Explain, Negotiate & Update).

Dalam fasa kedua ini, setiap kumpulan dilatih untuk merekabentuk prospektus penajaan mini (maksimum tiga muka surat), di samping mengenalpasti dan berkomunikasi dengan penaja-penaja berpotensi seluruh negara.

Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Timur antara agensi kerajaan yang menjadi tumpuan peserta.

Fasa 3 merupakan kemuncak kepada modul ini, di mana setiap kumpulan bertemu dan berkomunikasi dengan penaja-penaja berpotensi secara bersemuka di sekitar Bandar Kuantan pada 17 Mac.

Di samping itu, setiap kumpulan juga boleh mengambil upah membuat sebarang perkhidmatan dan membuat sebarang kerja-kerja keusahawanan bagi menjana kewangan.

Selepas itu, hasil dapatan SPRINT dibentangkan dalam slot 3 Kursus Pemantapan JKM untuk dinilai oleh Dr. Mohd Farizal selaku ketua fasilitator slot tersebut. Dalam sesi pembentangan tersebut, para peserta telah menceritakan strategi dan pendekatan yang digunakan dalam usaha untuk berunding dengan penaja-penaja berpotensi.

Halangan dan cabaran dalam mendapatkan penajaan turut sama dibentangkan dan dibincangkan.

Sesi komunikasi dan rundingan dijalankan oleh peserta di pejabat-pejabat swasta di sekitar Bandar Kuantan.
Pusat-pusat perniagaan turut menjadi tumpuan peserta untuk mendapatkan penajaan.

Sepanjang modul SPRINT ini dilaksanakan, JKM KTHO telah berjaya menarik minat beberapa syarikat swasta dan individu untuk menaja dalam dua program UTM Top Bidder KTHO, Merbauan Carnival (MECAR) dan Merbauan Science & Technology Day (MESTED). Sementara itu, hasil komunikasi, rundingan, perkhidmatan dan kerja-kerja keusahawanan yang dijalankan di sekitar Bandar Kuantan pada 17 Mac dalam tempoh 4 jam telah berjaya menjana pendapatan kewangan keseluruhan sebanyak RM1165.

Secara keseluruhan, modul SPRINT ini bukanlah dirangka semata-mata untuk JKM KTHO mengejar angka pendapatan penajaan dan penjanaan kewangan program, tetapi ia sebagai satu platform bagi JKM KTHO untuk merangka strategi yang sistematik, di samping mempertingkat keyakinan diri dan kemahiran komunikasi dalam sesuatu rundingan terutama melibatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan individu perseorangan.

Slot 3 Kursus Pemantapan JKM: Harga Diriku menjadi platform penilaian dan bedah siasat SPRINT.

Explore More