April 25, 2024

Search
Close this search box.

Sambutan tetamu yg mulia iaitu bulan Ramadan saban tahun memang amat dinantikan. Ganjaran pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Yang Maha Esa menjadi pendorong dan semangat untuk umat manusia berlumba-berlumba melakukan kebaikan dan amal soleh.

Di peringkat UTM, kolej kediaman Datin Seri Endon (KDSE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga tidak melepaskan peluang dalam bersama-sama menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memberikan manfaat kepada banyak pihak terutamanya kepada pelajar itu sendiri. 

Antara aktiviti yang dijalankan ialah lets learn tajwid, webinar yang bertajuk goal of Ramadan, solat tarawih, tadarus, kuiz yang bertemakan last days of Ramadan, santunan Ramadan dan juga majlis khatam Al-Quran.

Pemberian juadah moreh kepada pelajar-pelajar selepas solat tarawih

Seperti yang kita sedia maklum, kitab suci Al-Quran diturunkan di dalam bulan Ramadan. Membaca dan mentadabbur Al-Quran adalah sangat digalakkan dalam kehidupan seharian. Program lets learn tajwid dirancang oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KDSE untuk memberikan kefahaman kepada para peserta mengenai hukum tajwid di dalam pembacaan Al-Quran.

Program ini juga mendapat jalinan kerjasama daripada International Student Society Central (ISSC-UTM) dan UTMi Global Buddies. Ustaz Shahrel Ahmad bin Shuhel Ahmad daripada Pusat Islam UTM menjadi penceramah dan program ini turut mendapat sambutan daripada pelajar antarabangsa.

Selain itu, webinar yang bertajuk Goal of Ramadan juga dilaksanakan dan disampaikan oleh Ustaz Panji Alam bin Mazhisham menerusi platform aplikasi webex dan juga facebook live KDSE.

Majlis khatam Al-Quran di KDSE

Aktiviti solat terawih dan juga tadarus adalah aktiviti yang dinanti-nantikan di dalam bulan Ramadan.

Pada tahun ini, solat tarawih dapat dilaksanakan secara fizikal dan pelajar-pelajar mengambil kesempatan untuk bersama-sama menjalankan ibadah yang hanya terdapat di dalam bulan yang mulia ini. Slot tadarus juga dijalankan secara atas talian yang melibatkan 30 orang peserta.

Selain itu, JKM juga mengambil kesempatan untuk mengadakan kuiz yang bertemakan Final Days of Ramadan. Aktiviti ini, dapat menguji kefahaman pelajar-pelajar mengenai keistimewaan di sepuluh malam terakhir di dalam bulan Ramadan.  

Setelah beralih ke fasa endemik, pihak kolej merancang aktiviti santunan Ramadan di mana JKM dan majlis felow dapat bersua muka dan bersama-sama dengan pelajar-pelajar di kolej.

Bersama pelajar-pelajar di kolej dalam Program Santunan Ramadan

Di dalam program ini, juadah bersahur disediakan dan diberikan kepada pelajar-pelajar di bilik mereka sambil bertanya khabar mereka dan juga masalah-masalah yang mereka hadapi di kolej. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan hubungan silaturrahim bersama dengan pelajar.

Program ihya’ Ramadan KDSE ditutup dengan majlis khatam Al-Quran yang dirasmikan oleh YBrs. Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada pihak kolej atas inisiatif menjalankan pelbagai program untuk kebaikan pelajar di sepanjang bulan Ramadan ini.

Akhir kata, bulan Ramadan merupakan madrasah untuk kita mentarbiyah diri agar menjadi modal insan yang lebih baik dan berakhlak mulia. Diharapkan menerusi program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak kolej ini, dapat memberi inisiatif untuk mereka melaksanakannya.

Dr. Nabilah binti Kasim

Pengetua Kolej Datin Seri Endon, UTM

Explore More