April 20, 2024

Search
Close this search box.

Aktiviti Makmal Satelit – Lawatan Penanda Aras Aktiviti/Projek KIK FABU UTM Ke Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Sarawak

Disediakan oleh: Pn. Fadillah Abdul Hamid & Cik Hanis Amirah Roslin
Penulis bersama : Prof. Madya Sr. Gs. Dr Tajul Ariffin bin Musa

Seramai 7 orang staf professional dan pelaksana (PPP) Fakulti Alam Bina & Ukur (FABU) telah diberi peluang untuk menyertai Bengkel Bimbingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang telah diadakan di Hotel Pullman Kuching, Sarawak pada 10 hingga 11 Mac 2022.

Lawatan ini diketuai oleh Profesor Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin bin Musa, Pengarah Geoinformasi FABU selaku Penasihat Program untuk aktiviti makmal satelit antara FABU, UTM – JTS, Sarawak, yang juga telah mendapatkan kebenaran dari pihak JTS untuk Kumpulan Pancang dan Kumpulan Fabulous dari FABU turut sama dalam Bengkel Bimbingan yang diadakan oleh JTS ini.

Tujuan lawatan penanda aras ini diadakan adalah bagi membantu fakulti dalam memperkasakan aktiviti inovasi diperingkat UTM. JTS Sarawak merupakan pilihan utama lawatan penanda aras oleh FABU UTM berdasarkan kepada Inovasi cetusan idea Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JTS Sarawak telah menghasilkan lebih 152 projek berkualiti memfokuskan 4 komponen utama tenaga manusia, proses dan prosedur kerja, kerangka perundangan dan teknologi.

Lawatan penanda aras yang diadakan ini juga merupakan hasil daripada salah satu usaha Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengadakan kerjasama yang telah ditandatangani di antara UTM dan JTS pada 6 September 2021 serta hasil lawatan kunjungan hormat Pengurusan Eksekutif FABU ke Sarawak pada 17 hingga 19 Januari 2022 yang lalu. Antara intipati bengkel ini diadakan adalah bagi menentukan pemilihan tajuk inovasi yang lebih tepat dan sesuai oleh setiap kumpulan serta selaras dengan permasalahan berkaitan sistem kerja semasa.

Di samping itu, tempoh masa yang diberikan kepada setiap kumpulan bagi mencari tajuk inovasi adalah lebih kurang 1 hingga 2 bulan. Dari segi skop pemilihan tajuk inovasi setiap kumpulan pula adalah menjurus kepada masalah yang acap kali dihadapi oleh pengguna dan staf sendiri dalam menguruskan tugasan harian semasa. Melalui bengkel yang diadakan ini, panel pemilih yang terdiri daripada DYM Awang Zamhari bin Awang Mahmood, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS Sarawak, En. Ramzi bin Abdillah, Pn. Hajah Siti Romiza binti Romali, Pn. Madeline Ak Ambit, Pn. Franky Mesa dan Pn. Rafiza binti Radin yang akan menentukan sama ada tajuk yang dibentangkan adalah bertepatan dan mempunyai hasil serta impak yang baik kepada organisasi secara keseluruhannya.

Bengkel Bimbingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Jabatan Tanah dan Survei Sarawak ini menyaksikan 13 kumpulan dari seluruh Jabatan peringkat JTS Sarawak membentangkan hasil projek inovasi yang telah mereka pilih dan tentukan. Berdasarkan kepada hasil pembentangan projek inovasi semua kumpulan, ia akan dipertandingkan di dalam Konvensyen Inovasi dan Kualiti JTS peringkat negeri Sarawak yang dijangka akan diadakan pada bulan Jun atau Julai 2022 ini.

Bengkel ini secara khususnya dapat memberi pengetahuan yang luas kepada kedua-dua kumpulan Pancang dan Fabulous dari FABU dalam pemilihan tajuk serta menghasilkan projek inovatif dan kreatif yang telah tersedia ada untuk diperluaskan pada masa akan datang. Ahli kumpulan KIK FABU yang terlibat dalam Bengkel Bimbingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Jabatan Tanah dan Survei Sarawak ini juga diberi peluang yang banyak untuk berkongsi pandangan dan soalan secara terus kepada ahli kumpulan KIK dari seluruh unit dan jabatan JTS Sarawak. Selain itu, wakil daripada FABU juga berpeluang untuk mendapatkan maklumat serta idea daripada para panel dalam sesi dialog di bengkel tersebut.

Pihak kedua-dua kumpulan Pancang dan Fabulous FABU berharap agar program seperti ini akan sentiasa diadakan supaya ia dapat disemai dalam jiwa staf FABU secara khususnya. Diharapkan kerjasama serta perkongsian daripada pihak JTS Sarawak dapat mendorong kumpulan KIK FABU dalam menambahbaik dan meningkatkan kualiti serta produktiviti kerja khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan di FABU.

Explore More