April 20, 2024

Search
Close this search box.

SEPANG, 24 Mac – Pengerusi Penyelidikan Bersekutu (Bahan Keterhadapan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Mohd. Hafiz Dzarfan bin Othman dinobatkan Anugerah Ahli Akademik Harapan dalam Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-14 sekaligus mengiktiraf inisiatif UTM dalam memperkasa bakat staf akademik bagi penyampaian berkualiti tinggi. 

Beliau menerima anugerah berprestij tersebut oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam majlis yang dihadiri oleh pengururusan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Awam, Pengerusi Majlis Dekan serta agensi-agensi akademik di Hotel Sama-Sama, Sepang, KLIA di sini, hari ini.

AAN merupakan acara tahunan KPT yang dianjurkan sejak 2006 bagi memberikan pengiktirafan tertinggi kepada ahli-ahli akademik negara yang telah memberikan sumbangan cemerlang dan berimpak tinggi dalam perkembangan pendidikan serta pembangunan negara.

Ia sebagai pendekatan Kementerian dalam usaha meningkatkan budaya profesionalisme dalam kalangan ahli akademik dan merupakan platform terunggul bagi memartabatkan pakar akademik dalam negara.

Dalam majlis tersebut, pengiktirafan diberikan dalam tujuh (7) kategori iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Prof. Ts. Mohd. Hafiz Dzarfan bin Othman

Anugerah Ahli Akademik Harapan yang dimenangi oleh Prof Hafiz memberi pengiktirafan kepada ahli akademik berkemampuan dan berkaliber yang berumur tidak melebihi 40 tahun pada tahun yang dinilai dan diberi kepada ahli akademik yang mempamerkan potensi dalam pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, keterserlahan, kepimpinan dan keserakanan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan tersebut merupakan wakil pertama UTM untuk mendapat pengiktirafan dalam kategori Anugerah Ahli Akademik Harapan sejak AAN diperkenalkan.

Menurut beliau, anugerah ini adalah hasil usaha, sokongan dan bantuan semua pihak sepanjang karier beliau terutama pihak UTM dan AMTEC.

“Program yang dijalankan oleh UTM telah memberikan motivasi dan latihan kepada staf muda seperti saya terutama setelah beroleh PhD, antaranya program mentor-mentee, pemberian geran penyelidikan kepada penyelidik muda, kursus pembangunan kemahiran dan bakat seperti kursus penyeliaan, kursus penulisan jurnal dan kursus kepimpinan.

Pengiktirafan dan insentif yang diberikan oleh UTM kepada setiap kejayaan penyelidik juga memberi motivasi dan galakan kepada kami untuk lebih cemerlang dan maju ke hadapan.

Selain itu kemudahan penyelidikan yang terdapat di UTM terutama di AMTEC adalah terkini dan bertaraf dunia yang banyak membantu dalam usaha menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi,” kata beliau.

Menurut beliau juga, pengiktirafan oleh AAN ini sememangnya menjadi motivasi dan pembakar semangat untuk terus maju dan memberi lebih banyak sumbangan kepada universiti, bangsa dan negara.

Ia bukan sahaja merupakan sebuah pengiktirafan individu tetapi satu amanah yang cukup besar kepada saya untuk terus menyumbang kepada bangsa dan negara, serta sebagai satu tanggungjawab untuk menjadi role model kepada penyelidik muda,” akhiri beliau.

Prof. Hafiz yang telah berkhidmat di UTM sejak 2004 pernah menjawat sebagai Pengarah HICoE Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju dan kini merupakan Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Bahan Terkehadapan.

Bidang penyelidikan beliau tertumpu kepada pembangunan teknologi membran termaju bagi mengatasi masalah pencemaran air dan penghasilan tenaga.

Sehingga kini, beliau telah mengetuai lebih 50 projek penyelidikan termasuk enam geran antarabangsa dan empat geran industri/kontrak yang bernilai RM6 juta dan telag menerbitkan 400 penerbitan berindeks Scopus/WoS dengan h-indeks terkini 38.

Hasil dari aktiviti penyelidikan dan inovasi ini telah dilindungi di bawah 30 harta intelek dan menerima beberapa anugerah kecemerlangan sebelum ini, contohnya Top Research Scientist Malaysia 2019, MASS Young Researcher Award 2018, Hitachi Scholarship Research Support Program 2018, Aseanian Membrane Society (AMS) New Member Special Award 2018, Anugerah Penyelidikan Terbaik UTM 2017 dan 2021, dan wakil Malaysia bagi 2017 Asia-Pacific Economy Cooporation (APEC) Science Prize for Innovation, Research and Education (ASPIRE) Prize.

Di samping itu, projek inovasi yang beliau diketuai juga telah merangkul 3 anugerah “Best of the Best”, 4 anugerah khas dan 13 medal emas di pelbagai pertandingan inovasi.

Beliau juga merupakan salah seorang pengasas kepada syarikat hiliran UTM iaitu Filt Us Sdn. Bhd.

Antara penerima anugerah berprestij daripada UTM sebelum ini ialah Prof. Datuk. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail sempena AAN ke-7 dan Prof. Dr. Roji bin Sarmidi pada AAN ke-11 bagi kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

Anugerah Pengajaran telah dinobatkan kepada Profesor Madya Ir. Hayati binti Abdullah sempena AAN ke-5 untuk kelompok Kejuruteraan dan Prof. Madya Fatimah binti Puteh sempena AAN ke-9 bagi kelompok Sastera dan Sains Sosial.

Explore More