April 25, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: Dr. Mohd Fuad Mohamad dan Dr. Mohd Bakri Bakar

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Selatan terus memperkukuhkan kerjasama dalam memperkasakan agenda pendidikan berkaitan sains kelestarian. 

Bagi mencapai hasrat ini, program Green Chemistry Challenge telah berjaya dianjurkan secara bersama pada 15 Januari 2022 yang melibatkan pelajar daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM. Green Chemistry Challenge 2022 merangkumi pertandingan kajian kes kimia hijau berasaskan kaedah inovasi pembelajaran akademia baharu.

Melalui program ini, pelajar perlu menawarkan penyelesaian kepada pemasalahan yang melibatkan aplikasi kimia hijau bagi memenuhi keperluan kelestarian. Matlamat pembelajaran ini dicapai melalui kajian kes melibatkan inovasi yang memenangi pertandingan EPA Green Chemistry Challenges.

Pelajar turut didedahkan dengan kaedah pembentangan inovasi berdasarkan model NABC Keperluan (Need), Kaedah (Approach), Faedah (Benefit) dan Persaingan (Competition). 

Menurut Pengarah Program yang merupakan pensyarah Fakulti Sains UTM, ChM. Dr Mohd Bakri Bakar, pelajar perlu mengenalpasti produk dan proses melalui rekabentuk, pembangunan dan penggunaan yang melibatkan aplikasi prinsip kimia hijau.

Data pemasalahan dan strategi yang dicerap pula perlu ditambah baik melalui penyelesaian sendiri, dan dibentangkan semasa pertandingan yang diadakan secara dalam talian melalui platform Webex.

Program tersebut melibatkan penjurian daripada pakar universiti dan industri iaitu ChM. Dr. Sheela Chandren daripada UTM, PM ChM. Dr. Lee Hooi Ling daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan ChM. Soh Ee Shan daripada Allied Chemists Laboratory Sdn. Bhd.

Selain itu, satu sesi syarahan kimia hijau industri turut diadakan yang melibatkan penceramah jemputan, Dr. Azlan Shah Hussain daripada Petronas Research Sdn. Bhd.

Program ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu melibatkan pelajar dengan pembelajaran sepanjang hayat melibatkan kelestarian melalui aplikasi teknologi dan proses kimia hijau.

Dalam konteks ini, kepentingan pembangunan bahan serta tindakbalas kimia yang selamat adalah penting bagi menyumbang kepada agenda kelestarian global.

Bagi UTM dan IKM, program ini juga selaras dengan agenda bagi memajukan pendidikan tinggi dalam bidang sains kimia secara bersama yang menepati hasrat kelangsungan kerjasama dalam jangka masa yang panjang.

Explore More