Disember 22, 2024

Kem Pemantapan Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej Tuanku Canselor (KTC) telah berlangsung selama tiga hari dua malam pada 27 hingga 29 Januari 2022. Program ini telah dijalankan secara fizikal di Resort Agrofarmstay, Durian Tunggal, Melaka dan telah mendapat penajaan daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan UTMFleet.

Program ini melibatkan seramai 12 ahli Majlis Felo bersama 22 ahli JKM yang telah dilantik bagi sesi 2021/2022 sebagai pemimpin kolej yang baharu.

Penganjuran program Kem Pemantapan ini bertemakan “Unggul Melangkah Bersama” bersandarkan kepada empat objektif di mana objektif pertama adalah untuk memperkukuhkan ukhwah dan kerjasama antara ahli JKM KTC itu sendiri dan antara pembantu felo, felo, serta pengetua kolej. Objektif kedua pula, untuk meningkatkan prestasi dan pengetahuan di kalangan ahli JKM KTC bekaitan aspek-aspek kepimpinan.

Selain itu, objektif ketiga adalah untuk mengukuhkan persefahaman dan semangat berpasukan dan nilai-nilai murni serta sahsiah diri. Objektif keempat ialah untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran penting dalam menerajui program-program yang dianjurkan di KTC.

Program Kem Pemantapan JKM KTC bukan sekadar melaksanakan aktiviti tahunan yang wajib semata-mata, malah program ini adalah amat penting bagi setiap ahli JKM memahami peranan masing-masing dalam mengetuai organisasi kolej dan menjadi pemimpin tertinggi dalam kalangan pelajar di KTC khususnya dalam aspek jatidiri dan kepimpinan.

Pengisian program lebih berbentuk santai bersesuaian dengan pemilihan lokasi Resort Agrofarmstay yang merupakan kawasan percutian inap desa di tapak seluas 30 ekar yang lengkap dengan fasiliti dan fasilitator terlatih.   

Program ini diharapkan berupaya melatih dan membentuk organisasi JKM KTC yang mantap, berketrampilan, dan berdaya saing dalam menerajui pucuk pimpinan mahasiswa di KTC serta memupuk semangat kerjasama yang erat di kalangan ahli JKM, Majlis Felo serta pengurusan KTC.

Explore More