Sambutan UTM 50 Tahun : Naratif Baharu Melangkah Ke Hadapan

Oleh: Prof. Dr. Kassim Thukiman

Bersempena sambutan 50 tahun UTM yang dijadualkan pada 14 Mac 2022, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-7, Prof Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan pasukan pengurusan tertinggi menggalas amanah yang amat besar.

Dalam kebanyakan ucapannya sebagai Naib Canselor, beliau menekankan tentang keperluan seluruh warga universiti untuk sama-sama “memacu keunggulan dan memperkasa pembangunan”.

Beliau menginsafi dengan amanah tersebut apabila apabila membaca kata-kata amanah kepimpinan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq. Menurutnya, seluruh warga UTM perlu mengutamakan budaya kecemerlangan asas keunggulan organisasi.

Dalam mengukuhkan jati diri dalam kalangan warganya, sejarah UTM perlu ditelusuri dan dihayati dengan sebaiknya.

Dengan menghayati liku-liku sejarah penubuhan universiti, ia mampu menimbulkan keinsafan dalam kalangan staf dan mahasiswa betapa sukarnya menjadikan UTM sedemikian rupa. Ia mampu memugarkan kembali roh perjuangan dalam kalangan warga UTM.

Sejarah UTM bermula dengan penubuhan Maktab Teknik pada tahun 1946. Pengambilan pelajar pertama dibuat pada tahun 1947. Pada 1 Mac 1955, kampus Maktab Teknik Jalan Gurney dibuka dengan rasminya oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Pada 14 Mac 1972, Maktab Teknik dinaik taraf menjadi sebuah pusat pengajian tinggi yang dinamakan Institut Teknologi Kebangsaan.

Bagaimanapun, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan penubuhan UTM pada 1 April 1975. Dari saat itu, UTM menempuh pelbagai cabaran sehingga dinobatkan sebagai Universiti Penyelidikan yang kelima pada 10 Jun 2010.

Hakikatnya sehingga kini, UTM telah berjaya melahirkan lebih 200,000 graduan dalam pelbagai bidang profesional khususnya sains, teknologi dan kejuruteraan. Malah, selepas tahun 2010, peranan UTM lebih signifikan apabila melahirkan ramai graduan tempatan dan antarabangsa di peringkat pasca sarjana.

Menurut Datuk Fauzi, kejayaan UTM bukanlah ditempa dengan mudah. Ia menuntut perjuangan dan pengorbanan yang bukan kepalang. Beliau menginsafi perjuangan tokoh-tokoh kepimpinan UTM terdahulu, terutamanya Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid yang telah meletakkan asas kukuh bagi pembangunan sebuah universiti.

Justeru, beliau menyeru seluruh warga untuk menyuburkan budaya kerja cemerlang, berprestasi tinggi dan berkualiti demi meneruskan kegemilangan UTM.

Dengan nada serius dan empatik, beliau menyatakan “tidak ada suatu yang paling membahagiakan, melainkan dapat menyumbang sebaiknya untuk menjulang jenama UTM di peringkat nasional dan global”.

Sejak memegang teraju kepimpinan UTM, Datuk Fauzi tidak putus-putus tanpa rasa jemu mengajak seluruh warga UTM supaya mempertahankan maruah bagi mengekalkan status Universiti Penyelidikan. Bagi menggalas amanah besar ini, beliau menyeru warga UTM untuk memperkasa jati diri, memperkaya kompetensi dan menjayakan komitmen organisasi. Dengan itu, warga UTM dapat menunjukkan tanda kasih kita yang tidak berbelah bahagi kepada UTM Universiti Sanjungan Bangsa, semata-mata “Kerana Tuhan Untuk Manusia”.

Dalam suasana negara yang masih dilanda pandemik COVID-19, Datuk Fauzi berharap kesemua staf UTM melangkah ke hadapan dengan berfokus kepada kecemerlangan.

Beliau berkongsi resepi kejayaan dengan berusaha mengubah pola berfikir dan bersikap positif.  Dengan itu, kita lebih banyak fokus bekerja daripada merungut, serta mensyukuri nikmat Allah yang tidak terhitung.

Dalam meraikan sambutan 50 tahun ini, UTM bertekad untuk menjayakan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi dengan menyumbang keilmuan berimpak tinggi kepada pembangunan sebuah negara-bangsa bernama Malaysia.

Prof. Dr. Kassim Bin Thukiman
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia