April 24, 2024

Search
Close this search box.

Sebilangan besar komuniti Orang Asli di Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang telah menerima manfaat pemindahan ilmu dan teknologi pertanian hidroponik dari sekumpulan penyelidik UTM.

Kumpulan penyelidik tersebut diketuai oleh staf akademik Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Prof Madya Dr Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim yang telah terbabit dalam projek pemindahan ilmu (KTP) berkenaan sejak tahun 2021 dengan mengetengahkan Teknologi Hidroponik Pelbagai Tanaman.

Teknologi Hidroponik Pelbagai Tanaman ialah kaedah pertanian baharu yang lebih efisien, teknik penjagaan/penyelenggaraan yang lebih mudah, murah dan yang lebih penting produktiviti yang lebih tinggi.

Komuniti Orang Asli di Pos Betau terbabit telah diberi bimbingan dan tunjuk ajar untuk membuat peralatan hidroponik dan mencantum-pasang (assembly) peralatan penyejukan cecair hidroponik.

Kedua-dua peralatan boleh dijual kepada komuniti setempat, petani-petani hidroponik di tempat-tempat lain dan menjadi pengeluar serta pembekal kepada syarikat-syarikat dalam talian.

Projek yang bertajuk “Pembangunan Modal Insan Melalui Transformasi Ekonomi dan Pendidikan ke Arah Kecemerlangan Komuniti Orang Asli” dilengkapi 4 modul pengajaran yang merangkumi pengajaran sistem tanaman menggunakan teknologi hidroponik, kaedah kitar semula bahan buangan secara kompos, kaedah pengurusan berkomputer, dan kaedah jualan tanaman atas talian.

Secara permulaannya, projek ini telah menerima suntikan dana sejumlah RM 20,000 dari UTM melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan seterusnya telah mendapat dana padanan dari UNESCO, Yayasan Pelajaran Mara, dan Yayasan Pembangunan Generasi Baru. Kesemua dana yang diperolehi adalah bagi melaksanakan projek dan memastikan kemampanan impak projek terhadap komuniti Orang Asli tersebut. Turut serta adalah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang yang telah memberi kerjasama padu dalam projek ini sejak awal lagi.

Projek “Pembangunan Modal Insan Melalui Transformasi Ekonomi dan Pendidikan ke Arah Kecemerlangan Komuniti Orang Asli” ini telah mendapat penarafan 3 bintang melalui mekanisma Penarafan Bintang Libatsama Komuniti UTM. Mekanisma Penarafan Bintang digunakan bagi memastikan impak dan daya mampan dapat dinilai terhadap projek berasaskan komuniti seperti ini.

Mekanisma ini juga akan memastikan projek dapat memindahkan ilmu kepada komuniti dengan berkesan dalam jangka masa panjang dengan harapan komuniti yang menerima manfaat dapat memindahkan pula ilmu yang sama kepada komuniti lain.

Explore More