Oktober 4, 2024

Search
Close this search box.

Kunjungan Hormat Pengurusan Eksekutif Fakulti Alam Bina Dan Ukur (FABU) ke Jabatan Tanah & Survei Sarawak

Delegasi Pengurusan Eksekutif Fakulti Alam Bina Dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia telah menerima jemputan untuk mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Tanah & Survei (JTS), Kuching, Sarawak.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk membincangkan dan mencapai kata sepakat berkaitan dengan cadangan aktiviti-aktiviti ke arah menghasilkan pelan strategik kerjasama jangka pendek dan jangka panjang makmal satelit di antara pihak FABU, UTM dan JTS dibawah perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai pada 6 September 2021.

Delegasi FABU diketuai oleh Prof. Madya Sr Dr Kherun Nita binti Ali (Dekan), bersama Prof. Madya Dr Zulkepli bin Majid (Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Prof. Madya Tpr Dr. Hairul Nizam bin Ismail (Pengarah Perancangan Bandar dan Wilayah), Prof. Madya Dr. Muhammad Najib bin Razali (Pengarah Harta Tanah), Dr Mustafa bin Omar (Pensyarah Kanan) dan En. Abdul Jalil bin Maulani (Timbalan Pendaftar).

Y.Bhg Datu Abdullah Bin Julaihi (Pengarah Jabatan Tanah & Survei Sarawak) beserta Timbalan-Timbalan Pengarah beserta pegawai-pegawai kanan JTS telah berbesar hati menyambut kedatangan delegasi Fakulti Alam Bina Dan Ukur, UTM.

Sesi perbincangan dua hala diantara pihak FABU, UTM dan JTS yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS iaitu Ybrs En. Awang Zamhari Bin Awang Mahmood berjaya menghasilkan objektif program dan meneroka kepakaran bidang dari kedua-dua belah pihak. Pihak FABU akan menyumbang kepakaran  berkaitan bidang Geoinformasi, Penilaian Harta Tanah, Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah serta Perancangan Bandar Dan Wilayah.

YBrs Encik Abdul Jalil bin Maulani, Timbalan Pendaftar FABU juga membuat pembentangan pelaksanaan projek  Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) yang bertujuan untuk  mempelajari penganjuran dan penyertaan JTS di dalam projek-projek KIK. Disamping itu, sesi pembentangan keseluruhan program di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Makmal Satelit antara UTM & JTS telah dilaksanakan oleh Pengarah Geoinformasi dengan tujuan untuk berkongsi hasil perhatian tuan Pengarah JTS dan Dekan FABU.

Pihak UTM juga melalui YBhg Dekan berbesar hati menjemput pihak JTS ke UTM Skudai Johor untuk kunjungan balas bagi perbincangan dan aktiviti lanjutan serta mengeratkan lagi jalinan Kerjasama UTM/JTS.

Disediakan oleh: Prof Madya Sr Dr Tajul Ariffin bin Musa & Pn. Fatimawati binti Masari

Explore More