April 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Mac 2022. – Hasil penyelidikan, penghasilan produk inovasi, khidmat masyarakat, sinergi, dan kolaborasi antara kepakaran bidang kejuruteraan bioperubatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama pihak industri, 3D Gens Sdn Bhd telah membawa evolusi baharu dalam teknologi pembuatan kaki palsu 3D.

Hasil gabungan kepakaran pihak industri iaitu 3D Gens Sdn Bhd dalam bidang cetakan 3D serta kepakaran kumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan UTM telah dapat membangunkan produk inovasi yang berdaya saing di pasaran.

Produk inovasi baharu tersebut adalah kombinasi teknologi imbasan 3D, rekaan 3D, dan cetakan 3D dimana ia dapat memberikan keselesaan serta menawarkan harga yang mampu milik kepada golongan OKU jika dibandingkan dengan rekaan tradisional yang berada di pasaran.

Kos tersebut boleh dikurangkan sehingga 60% dan sekaligus mampu memberikan satu sinar baharu kepada golongan OKU yang sangat memerlukan berikutan kekangan kewangan.

Inovasi kaki palsu cetakan 3D ini boleh digunapakai oleh golongan OKU untuk menjalankan aktiviti harian seperti berjalan, duduk dan bangun, menaiki tangga, menaiki kenderaan awam dan memandu kenderaan persendirian.

Menurut Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM, Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee, produk inovasi tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan OKU yang tiada kaki di paras bawah lutut sama ada dilahirkan tiada kaki atau kehilangan kaki kerana kemalangan dan sebagainya.

“Hasil kolaborasi antara UTM dan Dr. Izhar Aziz dari 3D Gens Sdn Bhd, produk inovasi ini bukan sahaja mampu menawarkan harga yang lebih murah kepada pengguna, malah ia juga dapat dilihat mampu memberikan keselesaan yang lebih kepada OKU dari pelbagai aspek dari proses pembuatan soket kaki sehingga penggunaannya.

Lebih istimewa, projek ini bukanlah hanya sebuah projek penyelidikan, tetapi ia juga adalah projek khidmat masyarakat atau dipanggil Corporate Social Resposibility (CSR) yang mana boleh memberikan senyuman kepada golongan OKU yang tidak berkemampuan mendapatkan kaki palsu secara percuma.

Dana yang diterima oleh pelbagai pihak untuk projek CSR ini diharap dapat memberikan sinar harapan baru kepada OKU yang memerlukan.

Pihak UTM juga akan menubuhkan tabung crowdfunding dalam masa terdekat bagi kelestarian projek ini untuk memberi manfaat yang sama kepada golongan OKU yang lain,” kata beliau.

Beliau berkata demikian usai Majlis Penyerahan Kaki Palsu 3D kepada dua orang penerima OKU di V01, Fakulti Kejuruteraan UTM kampus Johor Bahru.


Dalam majlis tersebut, Pengerusi SKBSK, Dr. Ahmad Zahran bin Md. Khudzari telah menyerahkan dua buah kaki palsu 3D dan dua buah kaki palsu tradisional kepada dua penerima berbeza.

Dr Hanif berkata, produk inovasi ini telah dibangunkan oleh sekumpulan jurutera dari 3D Gens Sdn Bhd dan kumpulan penyelidik UTM dipimpin oleh beliau.

Penyelidik UTM yang lain ialah Ir. Ts. Dr. Asnida Abdul Wahab, Dr. Aizreena Azaman, Dr. Amir Putra Md Saad dan Dr. Norzaidahwati Zaidin manakala pelajar yang terlibat adalah Muhammad Hanif Baharuddin, Intan Liyana Rosli dan Maylorna Yusof.

Bagi proses penyediaan soket kaki palsu, ianya adalah dalam pelbagai bentuk mengikut jenis kecacatan dan juga mengikut kehendak pengguna.

Imbasan 3D akan dilakukan terhadap OKU pada bahagian kecacatan tersebut tanpa sentuhan dan penggunaan bahan lain seperti yang digunapakai dalam kaedah tradisional.

Hal ini dapat menjimatkan masa, tenaga serta bahan-bahan dan kos-kos lain dalam pembuatan soket kaki.

Setelah itu, lukisan rekabentuk 3D dijalankan di makmal UTM dan disusuli dengan cetakan 3D di 3D Gens Sdn Bhd.

Selepas selesai pembuatan soket, kesemua bahagian akan disambungkan untuk menjadikan satu kaki palsu yang lengkap.

Padanan terhadap kaki OKU serta aktiviti latihan di makmal Motion Analysis akan dijalankan terlebih dahulu sebelum dapat diserahkan sepenuhnya kepada penerima,” kata beliau.

Bagi setiap kaki palsu yang diterima, jangka hayat dari segi ketahanan soket adalah antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada rekabentuk inovasi tersebut dan cara penggunaan penerima.

Manakala bahagian lain seperti pilon, adapter dan kaki mampu bertahan sehingga tujuh tahun.

Soket cetakan 3D tersebut boleh ditukar mengikut kehendak, warna dan ketahanan tanpa perlu menukar bahagian yang lain, akhiri beliau.

Explore More