April 26, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Syuhaida Ismail

Kumpulan penyelidikan Green Cities and Construction (GCCRG) dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) bakal melebarkan sayap penyelidikan mereka dalam bidang kemasyarakatan hasil kerjasama strategik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan bermula Januari 2022.

Melalui hasil mesyuarat dengan pegawai-pegawai JKM Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif (KP), Saudara Che Samsuzuki Che Noh bertempat di ibupejabat JKM Wilayah Persekutuan di Grand Seasons Hotel, Kuala Lumpur pada 22 November 2021 yang lalu, pihak JKM dan 2 institusi JKM telah berbesar hati untuk menjemput para penyelidik GCCRG dalam program penyelidikan libatsama masyarakat selama 6 bulan yang bakal dibiayai oleh institusi JKM sendiri.

Gambar 1: Mesyuarat strategik antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan Green Cities and Construction Research Group (GCCRG) yang berlangsung di ibupejabat JKM

Program libatsama masyarakat yang dikenali sebagai “STEAMazing JKM with GCCRG” ini bakal membawa aktiviti berteraskan Science, Technology, Engineering, Art and Mathematics (STEAM) yang akan disampaikan oleh para penyelidik GCCRG dengan kerjasama staf kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) UTM Kuala Lumpur.

Program “STEAMazing JKM with GCCRG” ini yang turut menerapkan elemen penyelidikan melibatkan 96 kanak-kanak yang berumur antara 4 tahun hingga 12 tahun di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras dan 14 kanak-kanak yang berumur antara 13 tahun hingga 18 tahun di Asrama Sentosa Kuala Lumpur (ASKL), Sentul.

Gambar 2: Lawatan kerja Green Cities and Construction Research Group (GCCRG) ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras bagi membincangkan aktiviti-aktiviti jangkamasa panjang yang bakal dianjurkan oleh GCCRG dalam tahun 2022

Kanak-kanak yang menghuni Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah terdiri kanak-kanak yang didera, terabai kerana ibubapa/penjaga tidak berupaya untuk menjalankan pengawasan dan pengawalan atau ibu bapa /penjaga kanak-kanak telah mengabaikan atau keberatan untuk mengadakan pemeliharaan, makanan pakaian dan tempat berteduh yang mencukupi untuk kanak-kanak; tiada ibu bapa/penjaga; dibuang oleh ibu bapa/penjaga; terpaksa mengemis atau sebarang aktiviti yang mendatangkan kemudaratan kepada kebajikan kanak-kanak tersebut.

Manakala, ASKL pula merupakan asrama akhlak yang memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah (Perintah Percubaan) dan tidak terkawal agar terbina sikap  positif, peribadi yang kukuh dan ketrampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat.

Justeru, adalah menjadi harapan bagi GCCRG agar program libatsama masyarakat “STEAMazing JKM with GCCRG” ini mampu memberi impak yang signifikan ke atas pembangunan sahsiah kanak-kanak di kedua-dua institusi JKM ini.

Explore More